PENYOKONG setia Umno dan bekas menteri Rafidah Aziz secara jelas menyokong Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan baru.
Bekas ketua Wanita Umno yang sering mengkritik pentadbiran Najib Razak di laman Facebooknya, berkata, buat kali pertama, rakyat Malaysia perlu menukar kerajaan dan menyerahkan amanah yang baru kepada gabungan pembangkang.
“Malaysia harus menukar kontrak pengurusan negara kita yang tercinta, Malaysia.
“Kita berikan amanah itu kepada PH,” katanya.
Posting beliau yang panjang lebar itu mengulangi beberapa tulisannya sebelum mengenai keruntuhan kedaulatan undang-undang institusi negara dan terhakisnya integriti.
Menyebut dakwaan skandal yang melibatkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Rafidah berkata tiada tindakan diambil di Malaysia tidak seperti negara lain yang melancarkan siasatan ke atas firma pelaburan negara yang dipengerusikan oleh Najib.
“Di Malaysia, kedudukannya masih ‘tiada kes’, ‘tiada kaitan’. Tiada jawapan yang jelas dan munasabah diberikan oleh mana-mana pihak. Dokumen-dokumen dirahsiakan, mencerminkan tiada ada ketelusan.
“Ada campur tangan dalam menukar pegawai-pegawai penyiasat dan ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Speaker Parlimen sentiasa menghalang sebarang cubaan dalam Parlimen membangkitkan soal 1MDB,” katanya.
Rafidah, yang berada dalam politik dan kerajaan persekutuan semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, berkata rakyat Malaysia tidak seharusnya “meneruskan kontrak mereka dengan Najib & Co”.
“Ianya (kontrak) perlu digantikan dengan kontraktor yang baru yang diketuai oleh pengurus yang mempunyai rekod dan prestasi cemerlang yang ternyata.”
“Rakyat tidak perlu ‘sentimental’ membuat keputusan memberhentikan kontrak lama,” katanya. – 1 Mei, 2018.
Komen