Azmin menang sebab kekuatan kami, kata petugas jentera PAS


The Malaysian Insight

PEMIMPIN akar umbi PAS di Gombak percaya menteri besar sementara Selangor, Azmin Ali tidak dapat meneruskan penguasaan untuk penggal ketiga di kerusi parlimen itu.

Petugas jentera parti Islam tersebut, Ilham Zainuddin berkata kemenangan menteri besar Azmin selama ini berpunca daripada usaha jentera parti Islam itu.

“Jentera kami kuat. Kalau dulu dari jaga jalan, keselamatan, pasang bendera dan perayu undi banyaknya daripada kami,” kata Ilham yang ditemui ketika sedang mengedarkan risalah di Gombak.

Azmin pada 2008 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Said Anuar Said Ahmad dengan 6,867 undi.

Beliau berjaya mengekalkan kerusi tersebut pada 2013 apabila menewaskan calon BN Raman Ismail, namun jumlah majoriti undinya merosot kepada 4,734.

Kali ini, PAS turut bertanding menentang Azmin dalam pertandingan tiga penjuru dengan menampilkan tokoh pemudanya, seorang bekas jurutera Petronas, Khairil Nizam Khirudin.

Menurut petugas jentera PAS ini, tanpa undi ahli tegar mereka pastinya sokongan terhadap menteri besar sementara itu akan merosot.

Ilham juga berpendapat, langkah Azmin mempertahankan kerusi Gombak juga berisiko kerana parti Amanah agak lemah di kawasan tersebut.

“Dengan jentera yang ada, kita nampak ada peluang. Bagi saya sokongan akar umbi PAS sangat setia kerana dengan perjuangan kita. Faktor utama ialah akidah perjuangan.

“Kami ada 50 cawangan seluruh Gombak dan secara purata lebih 3,000 ahli PAS yang tegar. Itu yang betul-betul aktif,” katanya kepada Malaysia Decides. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen