IMEJ Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dikeluarkan daripada sepanduk kempen oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kali ini di Pulau Pinang.
Pengarah Strategi PKR Sim Tze Tzin berkata, sepanduk dipotong malam tadi di Sungai Ara, Bayan Lepas.
“Kita tidak tahu pukul berapa mereka datang. Tapi ada operasi untuk memotong gambar Datuk Seri Anwar dan Tun Dr Mahathir,” kata calon Parlimen Bayan Lepas dalam satu klip video dimuatkan dalam laman Facebooknya.
“Ini adalah satu tindakan yang keterlaluan. Kita tahu Dr Mahathir sudah 22 tahun perdana menteri Malaysia dan semua rakyat menghormati beliau.”
Katanya selain itu Anwar pula merupakan bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan yang dihormati rakyat Malaysia tetapi sedang dipenjarakan.
“Tak ada belas kasihan ke? Mengapa begitu takut kepada Dr Mahathir dan Anwar?” soalnya.
“Saya membantah sekeras-kerasnya tindakan SPR ini kerana mereka ini bukan orang lain, mereka merupakan pemimpin PH.”
Semalam di Ayer Hitam, Johor, pihak berkuasa mengeluarkan gambar Dr Mahathir daripada papan iklan selepas ia dinaikkan.
Calon PH bagi kerusi Ayer Hitam, Liew Chin Tong berkata, mereka dimaklumkan papan iklan berkenaan tidak boleh mempunyai gambar Dr Mahathir dan arahan SPR adalah supaya gambar bekas perdana menteri itu dipotong.
Selain itu, Liew yang juga adalah pengerusi DAP Johor berkata SPR juga mengarahkan supaya mengeluarkan atau tidak menaikkan semua poster, sepanduk atau kain rentang yang menampilkan gambar Dr Mahathir. – 1 Mei, 2018.
Komen