Bekas KM Pulau Pinang bantu kempen BN, disambut mesra penduduk


The Malaysian Insight

ORANG kata masa menyembuhkan dan itulah yang dialami Dr Koh Tsu Koon.

Pengundi menyambut mesra bekas ketua menteri Pulau Pinang pagi ini apabila beliau dan pasukan kempen partinya mengunjungi Pasar Mount Erskine, legasi Koh ketika mentadbir negeri utara itu.

Peniaga pasar menyambutnya dan bersalaman mesra dengan Koh, muka biasa di kerusi DUN Tanjung Bungah yang dipegangnya sejak 1990 hingga 2008.

Malah ada yang mahu bergambar dengan bekas orang kuat Gerakan berusia 68 tahun itu.

Situasi ini jauh berbeza selepas Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang 10 tahun lepas apabila beliau diejek pada hari terakhir berkuasa. Suasana pada 2013 juga tidak begitu baik.

“Saya sangat terkejut dengan maklum balas yang lebih baik berbanding yang saya harapkan. Saya jumpa ramai kawan lama, yang kata ‘lama tak jumpa’,” katanya dengan muka puas selepas lawatan itu.

Koh berkata calon BN Tanjung Bungah Teng Chang Yeow yang juga pengerusi BN negeri adalah calon terbaik untuk menerajui BN pada PRU14 di negeri itu.

Teng, katanya, berpengalaman sebagai exco pelancongan negeri, setiausaha politik Koh dan ahli majlis perbandaran negeri.

 Selepas berkempen di Tanjung Bungah, Koh mengatakan beliau akan pergi ke Teluk Intan, kerusi Parlimen dipegang Gerakan.

“Saya juga akan berada di Kuala Lumpur, di mana saya pernah ketuai Gerakan. Ketika saya menjadi KM, saya terima sokongan Gerakan luar Pulau Pinang. Jadi pilihan raya ini saya juga akan berjalan bantu berkempen,” katanya. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen