Switzerland lancar siasatan terhadap pegawai PetroSaudi berkaitan 1MDB


The Malaysian Insight

TINGGAL beberapa hari saja lagi Najib Razak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), skandal 1MDB terus mengekori beliau apabila pendakwa Switzerland melancarkan siasatan jenayah terhadap para pegawai syarikat minyak Arab Saudi.

Financial Times (FT) hari ini melaporkan dua individu dari PetroSaudi yang tidak dinamakan kini disiasat atas kesalahan yang disyaki termasuk penipuan, rasuah dan penggubahan wang haram, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap penyalahgunaan dana 1MDB.

Siasatan ini merupakan pendedahan terkini yang menjejaskan pentadbiran Najib menjelang PRU14 pada 9 Mei ini.

Sisatan ini adalah pendedahan kes jenayah pertama yang disasarkan kepada pekerja syarikat Arab Saudi yang diasaskan oleh salah seorang putera negara itu.

Penyiasat Amerika Syarikat (AS) sebelum ini mendakwa AS$1 bilion (RM4 bilion) wang rakyat Malaysia yang bertujuan untuk usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi disalurkan kepada seorang ahli perniagaan dari Malaysia, Jho Low. Tuduhan itu berterusan dinafikan oleh PetroSaudi.

Laporan FT itu menyebut bahawa pendakwa Switzerland berkata pegawai PetroSaudi yang disiasat disyaki melakukan salah urus, merasuah pegawai awam asing, penggubahan wang haram besar-besaran dan salah laku di pejabat awam.

Jun lalu, Jabatan Kehakiman AS (DoJ) memfailkan beberapa saman untuk merampas lebih daripada AS$1.7 bilion dalam bentuk aset yang diperolehi melalui wang yang dicuri dari 1MDB. DoJ juga mendakwa AS$20 juta dimasukkan ke dalam akaun seorang pegawai tertinggi Malaysia yang tidak bernama.

Baik Najib dan Jho Low, kedua-duanya menafikan sebarang salah laku.

Najib merupakan bekas pengerusi lembaga penasihat 1MDB. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen