ISU alam sekitar dilihat akan menyukarkan Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN Tanjung Bungah, Pulau Pinang dan sebuah kumpulan pelobi mahukan kepimpinan DAP memberikan komitmen penuh bagi menghentikan projek lereng bukit sebelum hari pengundian tiba.
PH dijangka terus berkuasa di Pulau Pinang pada PRU14 selepas berjaya merampas negeri itu daripada Barisan Nasional pada PRU2008.
Tetapi selepas dua penggal dan beberapa kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan, Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) mahukan calon pilihan raya untuk menolak pembangunan lereng bukit. Pulau Pinang yang kurang tanah menyaksikan projek kondominium mewah dan pantai diteroka demi tuntutan pelancongan dan kediaman.
Pengerusi TBRA Meenakshi Raman berkata Pelan Struktur Pulau yang menghalang projek lereng bukit curam dan cerun sensitive kategori IV perlu dihormati.
“Kami mendesak calon untuk menghormati alam sekitar dan tidak menyokong pembangunan cerun bukit. Kita perlu belajar daripada tragedi lepas dan tanah runtuh tahun lepas,” katanya kepada Malaysia Decides.
Ahad lepas, sebuah kumpulan penduduk dari Miami Green Resort di Batu Feringgi mengadakan sesi dialog dengan calon pilihan raya mendesak projek lereng bukit berhampiran kediaman mereka dihentikan. Dialog itu dihadiri oleh calon PH Zairil Khir Johari, Teng Chang Yeow (BN) dan dua lagi calon parti kecil negeri.
Tanjung Bungah menyaksikan pertandingan empat penjuru.
Tetapi masih tidak jelas sama ada isu itu cukup besar untuk menyebabkan pengundi Tanjung Bungah menolak PH dan memilih BN atau melakukan undi protes dengan mengundi parti yang lebih kecil.
Seorang pengundi Tanjung yang hanya mahu dikenali sebaga Faye, 41, berkata dia sedar kebimbangan penduduk walaupun rumahnya di kawasan Chee Seng tidak terjejas secara langsung.
“Saya faham mengapa orang tak gembira..projek baru sedang dilakukan di kawasan kejiranan mereka,” katanya.
Seorang penduduk Tanjung Tokong yang hanya mahu dikenali sebagai John pula berkata isu pembangunan lereng bukit semakin hangat selepas tragedi maut di Tanjung Bungah Oktober lepas, tetapi menyifatkan penduduk yang marah tidak tahu ia bukanlah tanah runtuh.
Cerun sementara di tapak pembinaan kondominium di Lorong Lembah Permai 3 di Tanjung Bungah runtuh tahun lepas, membunuh 11 pekerja.
“Mereka bercakap tentang aspek kecil isu. Berapa kerap tanah runtuh berlaku? Apa yang berlaku tahun lepas bukanlah tanah runtuh. Ada beza antara tanah runtuh dan kemalangan tempat kerja.
“Bagi mengatasi kebimbangan, anda hanya perlu peraturan dan syarat lebih ketat ditetapkan supaya pemaju boleh ikut apabila mereka bina (buat projek) di lereng bukit,” katanya ketika ditemui di pasar Mount Erskine, tempat yang dikunjungi calon BN dan PH pagi tadi. – 1 Mei, 2018.
Komen