Calon PAS pertaruh prestasi bersih lawan Azmin di Gombak


The Malaysian Insight

CALON PAS, Khairil Nizam Khirudin mempertaruhkan prestasi partinya yang bersih dan bebas rasuah sebagai pilihan pengundi untuk menewaskan penyandang di kerusi Gombak, menteri besar sementara Azmin Ali.

Bekas jurutera Petronas itu berkata, satu-satunya cara untuk menangani rasuah adalah dengan memilih pemimpin bersih dan bebas dari rasuah.

“Parti yang tiada dakwaan (rasuah) dan tidak siasat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) adalah PAS.

“BN dan PH ada (terlibat dengan tuduhan dan siasatan). Jadi jika rakyat tidak mahu negara dianggotai kleptokrat, pilihannya hanya satu. Atas fakta, hanya ada PAS.

“Perkara pertama mesti selesaikan masalah rasuah, sebab rasuah setiap tahun akan hilang berpuluh bilion ringgit,” katanya kepada Malaysia Decides sewaktu bertemu pengundi di satu pasar malam di AU3 Keramat, dalam kawasan DUN Hulu Kelang.

Kawasan parlimen Gombak yang menjadi tumpuan kerana kemenangan Azmin di kawasan tersebut banyak bergantung kepada kekuatan jentera PAS, yang kini tidak lagi bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan.

Sewaktu lawatan tersebut, Khairil juga dilihat amat bersahaja bersalaman dan disambut mesra orang ramai, dengan diiringi ramai anggota jentera PAS yang turut mengedarkan risalah manifesto parti.

Khairil Nizam, 41 berkata, beliau turut mengharapkan sokongan pengundi muda ke atas kempennya dalam memperjuangkan isu kos sara hidup yang dihadapi golongan itu.

“Perkara pertama kita fokus untuk memperjuangkan penghapusan GST sebab itu merangkumi semua lapisan masyarakat daripada tua sehingga anak yang baru lahir,” kata timbalan ketua Pemuda PAS yang pertama kali bertanding pada PRU14.

Jelasnya, penduduk Gombak yang merupakan kawasan bandar pastinya amat terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Beliau juga menawarkan untuk memansuhkan hutang lapuk PTPTN berjumlah RM4.7bilion, yang menurutnya menjejaskan lebih 500,000 mahasiswa menganggur. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen