POLIS Negeri Sembilan sudah membuka empat kertas siasatan sejak hari penamaan calon berkaitan kesalahan pilihan raya.
Bernama melaporkan kenyataan Pegawai Perhubungan Media PRU14 Mazrin Mahmud yang mengatakan tiga kertas siasatan di buka di Seremban dan satu di Jempol.
“Bagi Seremban dua kertas siasatan dibuka terhadap kes menggunakan media sosial untuk mengeluarkan kenyataan berhubung fitnah dan mendatangkan kegusaran terhadap rakyat serta individu.
“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM),” katanya.
Satu lagi kertas siasatan melibatkan penerbangan dron di pusat penamaan calon tanpa lesen sah Pihak Berkuasa Awam Malaysia (CAAM) dan disiasat menerusi Seksyen 447 KK atau Seksyen 142 (1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Malaysia. Dron itu sudah dirampas kerana dianggap menceroboh kawasan larangan.
“Polis menasihatkan mana-mana pihak supaya meminta kebenaran mendapatkan lesen untuk terbang daripada CAAM terlebih dahulu kerana kami tidak menghalang mana-mana penyokong meminta kebenaran tetapi setakat yang dimaklumkan lesen tersebut tidak akan dikeluarkan,” katanya.
Kes di Jempol pula melibatkan khianat kepada Pusat Daerah Mengundi (PDM), tetapi setakat ini tiada tangkapan dibuat. – 1 Mei, 2018.
Komen