SATU kejutan berlaku malam tadi apabila bekas menteri Kewangan Daim Zainuddin muncul pada sebuah kempen menteri besar sementara Selangor Mohamed Azmin Ali di Telok Gong, Pelabuhan Klang.
Gambar kehadiran Daim itu dimuatnaik di laman media sosial Facebook Azmin yang juga calon Parlimen Gombak dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
Seorang pegawai kepada Azmin berkata kehadiran Daim di lokasi ceramah itu tidak dirancang.
“Tun juga tidak memberikan sebarang ucapan,” kata pegawai itu kepada Malaysia Decides dengan syarat tidak dinamakan.
“Dia duduk sebaris dengan Azmin dan duduk sekejap. Ceramah itu dihadiri 350 penduduk kampung.
“Selepas kira-kira 35 hingga 40 minit dia beredar”.
Acara itu merupakan program “Santai Mesra Bersama Menteri Besar Selangor” yang dibuat di kawasan kubu kuat Barisan Nasional dan PAS.
Daim merupakan bekas menteri kewangan selama dua kali semasa zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad.
Walaupun tidak menyertai Bersatu dan Pakatan Harapan (PH), beliau kelihatan masih rapat dengan Dr Mahathir.
Bulan lalu, Daim bercakap pada sebuah forum di Langkawi bersama-sama Ahli Majlis Tertinggi Bersatu A Kadir Jasin. – 1 Mei, 2018.
Komen