AKAN ada penolakan orang India di Shah Alam selepas Barisan Nasional meletakkan Azhari Shaari sebagai calon mereka selepas dia dilaporkan terlibat dalam protes memijak kepala lembu untuk membantah kuil Hindu sedekad lalu, kata Hindu Sangam.
Presiden kumpulan hak Hindu utama negara itu, R. S. Mohan Shan berkata barisan pemerintah tidak peduli tentang sentimen agama kaum lain di kawasan itu.
“Akan ada tindak balas. Ini bukan isu kecil. Mereka menentang kuil Hindu.
“Malah, mereka pijak kepala lembu. Lembu suci bagi kami dan orang tak akan lupa (tindakan Azhari),” kata Mohan kepada Malaysia Decides.
Susulan bantahan awam, Azhari dan 11 yang lain didakwa dan didenda RM1,000 seorang oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Gambar Azhari bersama-sama mereka yang lain memijak kepala lembu tular dalam kalangan Hindu dan ramai tertanya-tanya mengapa perlu penduduk Shah Alam mengundi seorang yang tidak toleran kepada kaum dan agama lain.
Mohan turut mengatakan, tindakan BN kerap meletakkan calon bermasalah di Shah Alam adalah satu penghinaan kepada rakyat. Pada 2013, BN meletakkan Zulkifli Noordin yang didakwa menghina tuhan Hindu.
“Bagaimana dia (Azhari) boleh dipilih untuk kerus ini? Mereka (BN) selalu pilih calon bermasalah untuk Shah Alam.
“Mereka tak peduli tentang sentimen orang lain. Akan ada tindak balas,” kata Mohan.
Azhari dalam kenyataan semalam dakwaan pijak kepala lembu “tidak relevan” kerana banyak isu lain perlu diselesaikan penduduk Shah Alam.
Khalid Samad menang pada 2013 atas tiket PAS akan bertanding sebagai calon Amanah pada PRU14. Shah Alam mempunyai 107,316 pengundi, 17% adalah orang India. – 1 Mei, 2018.
Komen