Mukhriz tak ada kelebihan di Jitra, kata Umno


The Malaysian Insight

PEMIMPIN Umno di Kedah menyerang calon Pakatan Harapan untuk Jitra, Mukhriz Mahathir menyifatkan kerjaya politiknya berkembang kerana ayahnya, Dr Mahathir Mohamad.

Penyandang Kubang Pasu Mohd Johari Baharom mengatakan Mukhriz tidak mempunyai pengaruh di Jitra, kerusi negeri dalam kawasan Parlimen Kubang Pasu kerana dia “tidak ada apa-apa”.

Johari yang juga penyandang timbalan menteri pertahanan itu mengatakan beliau yakin dapat mempertahankan Kubang Pasu kerana rakyat tidak sukakan prestasi Mukhriz ketika menjadi menteri besar Kedah untuk tempoh kurang sepenggal pada 2013.

“Dia rasa dia ada pengaruh di sini tetapi dia jadi pemimpin Umno sebab dia bertuah jadi anak lelaki (bekas) perdana menteri,” kata Johari merujuk kepada ayah Mukhriz, Dr Mahathir.

“Bila dia jadi menteri besar, dia tidak pernah jaga Kubang Pasu, dia sentiasa ada di Kuala Lumpur. Dia tak berminat dengan Kubang Pasu sebab dia hendak jadi perdana menteri,” kata Johari kepada The Malaysia Decides selepas menghadiri majlis makan malam penghargaan untuk penjawat awam di Kubang Pasu, Jitra malam tadi.

BN menang kerusi Jitra dengan 3,056 majoriti undi pada 2013.

Johari yang merupakan bekas setiausaha politik Dr Mahathir mewakili Kubang Pasuk sejak 2004 susulan persaraan Dr Mahathir. Pada 2013, Johari menang kerusi Parlimen dengan majoriti undi 10,444. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen