Perlu 90% keluar mengundi untuk kalahkan BN pada PRU14, kata Bersih


The Malaysian Insight

SEMBILAN puluh peratus jumlah keluar mengundi diperlukan bagi mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini, kata Pemangku Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman Mohd Saari.

Shahrul berkata Malaysia tidak mengamalkan pemerintahan diktator, sebaliknya “demokrasi cacat” yang boleh diubah sekiranya ramai yang keluar mengundi pada hari mengundi.

“Ini dapat disaksikan pada dua pilihan raya yang lepas,” kata beliau di hadapan kira-kira 200 hadirin di Gereja St Francis Xavier di Petaling Jaya.

Shahrul turut menggesa hadirin supaya memulakan perubahan dengan seboleh mungkin melibatkan diri pada hari membuang undi dengan anta lainnya menjadi ejen atau melaporkan sebarang penipuan yang berlaku hari tersebut.

“Bantu rakan anda, kita ada 2 juta rakyat Malaysia di diaspora dan separuh daripada mereka berada di Singapura. Bantu mereka balik mengundi.

“Jika kita tak buat apa-apa, penipuan akan berterusan. Keluar mengundi, ajak yang lain mengundi,” Shahrul menambah.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel berkata rakyat juga bertanggungjawab untuk mendapatkan penduduk di kawasan luar bandar dan menggalakkan mereka supaya mengundi.

“Kita tak boleh semuanya berjalan dengan sendiri. Sembilan puluh peratus keluar mengundi, itu jumlah besar. Petaling Jaya boleh lakukannya, tetapi kita mahu kawasan lain juga buat perkara yang sama,” katanya.

Terdahulu tahun ini, penganalisis politik Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata peratus keluar mengundi yang rendah sebanyak 70% akan memberi BN majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen