PELABURAN besar China di Malaysia menjadi tumpuan perbincangan forum malam tadi apabila ahli panel mempersoalkan sekiranya wang dari negara itu digunakan untuk membiayai kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN).
Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel mengatakan pelaburan syarikat China seperti dalam Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 blion dan RM105 bilion dalam Projek Forest City.
Projek tersebut menimbulkan kebimbangan tentang masa depan ekonomi negara, katanya lagi kepada hampir 200 orang yang hadir di Gereja St Francis Xavier di Petaling Jaya semalam.
“Semua pelaburan seperti ECRL, Projek Forest City, Bandar Malaysia dan lain-lain berjumlah RM400 bilion.
“Kita gembira bila pelaburan masuk, tetapi kita tidak gembira jika pelaburan itu memberi kesan kepada bagaimana ekonomi kita dibentuk.
“Apa yang China dapat? Kita tahu yang China ada bayar hutang 1MDB (1Malaysia Development Berhad), apa lagi yang mereka buat? Adakah mereka sembunyikan Jho Low?” tanya Gabriel.
Low Taek Jho atau Jho Low dinamakan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) sebagai dalang rompakan dana pelaburan negara, 1MDB.
Mengenai pembiayaan politik pula, Gabriel mendedahkan yang undang-undang pembiayaan politik yang sepatutnya dibentangkan sebelum PRU14 masih belum disiapkan dan kini dijadualkan disiapkan menjelang PRU15.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low berkata undang-undang berkaitan pembiayaan politik dijangka siap menjelang PRU15 kerana “ia undang-undang yang besar”.
Bercakap di persidangan serantau demokrasi Asia Tenggara, Low mengatakan Malaysia sudah melakukan rundingan dengan orang awam dan parti politik berkaitan undang-undang pembiayaan politik.
“Jadi siapa yang biayai BN untuk PRU14? Kita semua tahu parti politik perlukan wang, itu hakikat.
“Tetapi kita tiada undang-undang pembiayaan politk, jadi bagaimana mereka dapat wang? Semuanya kabur, tiada siapa yang tahu bagaimana mereka dapat wang.” Kata Gabriel lagi. – 1 Mei, 2018.
Komen