Jamal janji beri nelayan Sekinchan RM2,000 jika BN menang


The Malaysian Insight

KETUA Umno Sungai Besar Jamal Yunos berjanji akan memberi para nelayan di Sekinchan RM2,000 sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di kerusi DUN Sekinchan.

Malaysiakini melaporkan Jamal berkata demikian di hadapan 800 hadirin, meminta mereka supaya jangan menyokong Adun DAP Ng Suee Lim dan terima tawaran “insentif” beliau itu.

“Beri calon BN dari MCA di Sekinchan kemenangan! Beliau menang sahaja, tuan-tuan dan puan-puan boleh tuntut dengan saya RM2,000 selepas ini.

“Ini sudahlah kerajaan bagi duit, sudahlah kerajaan bantu, undi pun tak mahu . Setiap lima tahun, bagi undi kepada Suee Lim (Ng), apa yang dia bantu tuan-tuan dan puan-puan?” Jamal dipetik berkata demikian.

Ng akan mempertahankan kerusi bagi penggal keempat dan akan berdepan Lee Yee Yuan dari MCA.

Pemimpin Baju Merah itu menambah sebai sahaja Lee menang, wang RM2,000 itu akan diberi kerana beliau sudahpun mempunyai penderma.

“Menang saudara Yuan di DUN sekinchan, RM2,000 tuan-tuan datang, saya buat majlis kepada semua, sebab ada penaja untuk saya, untuk bantu tuan-tuan dan puan-puan.

“Hari ini menang, hari esok kita buat majlis di sini. Kita bagi kepada nelayan supaya membantu nelayan, boleh?”” katanya di Pusat Arahan BN di Pasir Panjang.

Malaysiakini melaporkan yang Lee, calon DUN Sungai Panjang Mohd Imran Tamrin dan calon kerusi parlimen Sungai Besar Mohd Zohdi turut hadir.

PAS juga meletakkan calonnya di Sekinchan. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen