KALANGAN pengundi wanita yang ditemui Malaysia Decides di ceramah umum Pakatan Harapan di Alor Setar malam tadi berkata, mereka hadir untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tawaran gabungan parti itu kepada mereka.
Antara tawaran yang menjadi tarikan itu adalah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada suri rumah, kata seorang warga tempatan, Hasnah Tahar, 50.
Katanya, tawaran itu tepat pada masanya memandangkan golongan suri rumah dikatakan antara paling terkesan dengan kemelesatan ekonomi negara.
“Bagi saya ia membantu suri rumah yang sebelum ini tidak ada pendapatan. Macam saya, suri rumah banyak mengharapkan pada suami, jadi ia membantu dalam keadaan ekonomi sekarang,” kata Hasnah kepada Malaysia Decides
Caruman KWSP untuk suri rumah ini merupakan salah satu dari 10 tawaran PH yang dijanjikan untuk dilaksana dalam tempoh 100 hari selepas gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan.
Tawaran tersebut didakwa oleh pemimpin Barisan Nasional sebagai cadangan yang tidak masuk akal dan akan menyebabkan golongan suri rumah dikenakan cukai pendapatan.
Bagaimanapun, seorang lagi penduduk tempatan, Salasiah Zainul, berkata beliau lebih mempercayai tawaran manifesto PH berbanding Barisan Nasional kerana parti itu terlalu banyak dikaitkan dengan isu penyelewangan.
“Kerajaan Barisan Nasional banyak sangat rasuah. Kita tidak tahu betul atau tidak program itu dijalankan duit dan peruntukan akan disampaikan pada rakyat.
“Macam tabung Permata, kenapa kena bagi banyak sangat peruntukan,” kata Salasiah, 57.
Ditanya pendapatnya tentang persaingan parti dalam pilihan raya kali ini, Salasiah berkata beliau melihat kebolehan calon PH lebih menonjol berbanding calon BN.
“Saya sudah ikut ceramah PH merata-rata dekat sini, Saya datang sebab hendak tahu isu semasa sebab saya nak turun mengundi jadi kena tahu perkembangan politik.”
Ceramah di Alor Setar pada malam tadi antara lainnya menampilkan timbalan pengerusi barisan kepimpinan PH Kedah, Dr Azman Ismail, calon Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai, dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail. – 1 Mei, 2018.
Komen