CLARE Rewcastle-Brown telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi London supaya membayar £28,900 (RM155,791) kepada Abdul Hadi Awang, menurut peguam Presiden PAS itu.
Menerusi posting di Facebook, Wan Rohimi Wan Daud berkata keputusan itu dikeluarkan oleh mahkamah dalam saman fitnah yang difailkan oleh Hadi terhadap editor Sarawak Report itu di United Kingdom.
“TGHH (Tok Guru Haji Hadi) menang semua lima permohonan interlokutori! Sarawak Report diperintah membayar keseluruhan kos 28,900 pound (RM155,791),” katanya di posting tersebut.
Setiausaha politik Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu New Straits Times Press bahawa butiran lebih lanjuta akan diberi dalam satu sidang akhbar hari ini.
Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu berikutan sebuah artikel Sarawak Report bertarikh 6 Ogos, 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima RM90 juta supaya parti Islam itu menyokong Umno dan Barisan Nasional. – 1 Mei, 2018.
Komen