Berkhidmat di 2 kerusi boleh dilakukan, kata Saifuddin Nasution


The Malaysian Insight

SETIAUSAHA Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail yang bertanding di kerusi Parlimen di Kedah dan kerusi DUN di Pulau Pinang tiada masalah membahagikan masanya antara dua negeri untuk berkempen.

Calon Kulim- Bandar Baharu dan Pantai Jerejak itu berkata jika berjaya dapat tidur tiga jam sehari pun, beliau merasakan ia sudah cukup bertuah.

“Bagi saya, masih okay. Setakat ini, tiada masalah (berulang alik antara dua negeri). Dua kerusi itu hanya sejam memandu,” katanya kepada Malaysia Decides pada ceramah PKR di Bukit Gedung, Bayan Baru malam tadi.

Saifuddin mengatakan sejak kempen bermula, beliau melakukan tujuh hingga lapan program setiap hari di kedua-dua negeri, bermula dengan bertemu penduduk di pasar pada jam 8 pagi dan melawat tempat strategik seperti kawasan sarapan popular sehingga tengahari.

Beliau kemudian akan menghadiri ceramah dan dialog kecil, sebelum bertemu penduduk lagi pada tengahari, melawat pasar malam sekitar jam 6 petang. Malamnya pula memberikan tiga ceramah di tempat berbeza.

“Saya beritahu pasukan kempen saya untuk tambah lagi program. Saya boleh buat 10 program setiap hari.”

Saifuddin bertanding di kerusi Kulim- Bandar Baharu pada 2013 tetapi kalah kepada Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN) dengan undi 1,871. Pantai Jerejak di kawasan Bayan Baru, Pulau Pinang pula merupakan kerusi dipegang PKR sejak 2008 yang dimenangi kali terakhir oleh bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Mohd Rashid Hasnon dengan majoriti undi 5,354.

Sejak beberapa bulan lalu, wujud cakap-cakap yang Saifuddin bakal dilantik menjadi timbalan ketua menteri I yang baru jika menang di Pulau Pinang, menggantikan Rashid yang kini bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat, Johor.

Saifuddin yang sudah menceburi politik selama 27 tahun adalah salah seorang daripada tiga pemimpin PKR yang bertanding di kerusi Parlimen dan DUN. Dua lagi ialah Mohamed Azmin Ali (Gombak dan Bukit Antarabangsa) dan Johari Abdul (Sungai Petani dan Gurun). Semua mereka adalah antara pengasas PKR dan pemimpin kanan parti.

“Politik adalah kerja berpasukan. Awak ambil orang yang paling pandai untuk pasukan awak dan bergantung kepada mereka. Ia soal bagaimana awak uruskan orang. Berkhidmat di dua kerusi boleh dibuat. Ia boleh diuruskan,” katanya yang berjanji akan memperjuangkan akses saksama kepada pendidikan dan meningkatkan bantuan kebajikan kepada orang miskin.

Pada ceramah sebelum itu, beliau mengatakan tiada sesiapa boleh dinafikan hak akses pendidikan kerana latar belakang mereka, menggunakan contoh bagaimana ayahnya yang bekerja sebagai pemandu bas dan ibunya yang tidak berpendidikan memastikan semua 12 orang anak mereka menerima pendidikan.

“Lapan adik beradik saya jadi cikgu. Abang sulung dan saya dalam politik. Abang saya adalah penasihat strategik kepada perdana menteri. Saya penasihat strategik kepada ketua menteri Pulau Pinang,” katanya. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen