Terengganu pernah menolaknya, tetapi semalam Dr Mahathir disambut meriah


The Malaysian Insight

DI negeri yang pernah menolaknya pada 1999, Dr Mahathir Mohamad membuktikan kuasa penariknya terus berkesan apabila lebih 5,000 orang hadir ke sesi ceramahnya di Dungun, Terengganu malam tadi.

Walaupun masih tidak dapat dipastikan kehadiran mereka akan memberikan undi kepada pembangkang di Terengganu, satu perkara yang jelas rakyat mahu mendengar daripada mulut Dr Mahathir sendiri mengapa mereka perlu menolak Umno-Barisan Nasional dan memilih Pakatan Harapan.

Mereka tidak berminat dengan apa yang dihebahkan media arus perdana, pemimpin PAS dan Umno tentang bekas perdana menteri itu, mereka mahu jumpa dan dengar sendiri.

Malah ada yang datang dari Kuala Terengganu dan daerah lain negeri itu.

Masa sudah berubah, berbanding pada 1999 apabila pengundi negeri itu mengejutkan negara apabila menyingkirkan Umno-BN buat pertama kali dan memberikan kuasa kepada PAS dan Abdul Hadi Awang.

Penolakan itu disifatkan sebagai bantahan pengundi Melayu ke atas tindakan Dr Mahathir yang memecat dan memenjarakan Anwar Ibrahim. Itu adalah kali terakhir Dr Mahathir menerajui BN, beliau bersara pada 2003.

Tetapi, malam semalam Dr Mahathir yang nampak kepenatan tetapi penuh bersemangat memberi ceramah kepada penduduk negeri Pantai Timur itu dan rata-rata yang ditemui menyifatkan kehadiran mereka kerana mahu mendengar.  

“Saya datang untuk dengar apa dia nak kata. Walaupun saya mungkin undi lain, saya tetap nak dengar apa Tun kata,” kata Nora yang merupakan seorang penjawat awam.

“Ramai rakan-rakan saya tak puas hati tentang kenaikkan kos sara hidup. Mereka mungkin undi pembangkang. Tapi saya belum lagi buat keputusan,” katanya yang berusia 49 tahun dan bekerja di Kuala Terengganu itu.

PH menentang BN dan PAS di 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen. Gabungan pembangkang itu kini hanya menguasai kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan kerusi DUN Bandar.

Pada PRU13 lalu, kerusi Parlimen Dungun dimenangi PAS menerusi Wan Hassan Mohd Ramli dengan majoriti undi 3,942.

Pengaruh PAS di negeri Pantai Timur itu disedari Dr Mahathir yang juga merupakan calon perdana menteri PH.

“Dalam kereta tadi saya nampak lebih banyak bendera PAS daripada bendera BN.

“Tapi kita tahu, sebanyak-banyak bendera kita ada, lebih penting adalah hati manusia,” katanya disambut sorakan hadirin.

Bagaimanapun, Dr Mahathir lebih banyak menumpukan kritikannya kepada BN dan Najib Razak, menggesa rakyat supaya tidak termakan habuan dan janji manis mereka.

“Kalau dia bagi duit, ambil kerana duit itu datang dari kita juga. Tapi kita kena ubah kerajaan sekarang kerana ia kerajaan penjenayah,” katanya.

Persoalan sama ada beliau berjaya mengubah hati dan minda penduduk Terengganu masih tidak terjawab, tetapi satu perkara yang pasti Dr Mahathir Mohamad versi 2.0 mampu menarik hadirin besar di mana sahaja di Malaysia termasuklah di negeri yang pernah menolaknya dahulu. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen