KPM larang elemen keganasan sepanjang Minggu Solidariti Palestin


Ravin Palanisamy

KPM berkata program Minggi Solidariti Palestin bertujuan mendidik pelajar tentang nilai kemanusiaan, dan ia termasuk hak asasi manusia serta keamanan universal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2023.

ELEMEN ekstrem dan keganasan dalam melaksanakan Minggu Solidariti Palestin dalam instutisi pendidikan dilarang sama sekali, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Kenyataan dibuat selepas imej dan video di media sosial menunjukkan guru dan pelajar membawa pistol mainan ke sekolah sebagai sebahagian cara mereka mempamerkan solidariti terhadap Palestin, yang kini dikepung di Gaza.

“KPM maklum kebimbangan masyarakat awam berkaitan video yang tular di media sosial berkenaan program di sekolah yang menunjukkan elemen ekstremisme.

“Ia dianjurkan di luar tempoh pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mematuhi garis panduan ditetapkan KPM,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini, menambah minggu solidariti itu berlangsung dari 29 Oktober hingga 3 November.

Klip video berdurasi 55 saat itu menunjukkan beberapa individu dipercayai guru memakai jaket kalis peluru, topeng muka dan mengacukan senjata mainan ke arah pelajar.

Susulan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata program solidariti Palestin di sekolah perlu dikawal.

KPM berkata ia tidak menyokong aktiviti yang menayangkan sebarang bentuk ekstremisme sepanjang Minggu Solidariti Palestin.

“Penggunaan senjata replika, ikon dan simbol mengandungi elemen provokasi dan konfrontasi tidak dibenarkan,” katanya.

Kementerian itu berkata program itu bertujuan mendidik pelajar tentang nilai kemanusiaan, dan ia termasuk hak asasi manusia serta keamanan universal.

“KPM menggalakkan aktiviti yang menyokong isu kemanusiaan seperti tayangan video keamanan, pertandingan puisi kemanusiaan, pertandingan melukis poster bertema keamaan dan kutipan sumbangan untuk rakyat Palestin, menerusi program ini.

“Semua institusi di bawah KPM perlu mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya. – 27 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen