PKR membuka pintunya kepada tiga calon bukan Barisan Nasional (BN) yang bertanding kerusi Parlimen Batu yang sedia bersama-sama mengangkat agenda Pakatan Harapan (PH) jika penyandangnya Chua Tian Chang tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Tian Chua, yang juga naib presiden PKR, berkata beliau akan menyokong mana-mana calon bukan BN di kawasan itu sekiranya usaha beliau mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan pencalonannya ditolak mahkamah pada Khamis ini.
“Mana-mana calon yang menyokong agenda Pakatan Harapan akan dapat sokongan kami sekiranya saya tidak boleh mempertahankan kerusi ini.
“Saya bukan merayu mana-mana calon. Saya tidak berunding dengan mana-mana calon. Mereka boleh buat keputusan bila-bila masa asalkan mereka faham perjuangan kami,” katanya selepas perhimpunan solidariti untuknya di Sentul, Kuala Lumpur malam tadi.
Kerusi Parlimen Batu kini ditandingi empat calon iaitu Dr Dominic Lau yang mewakili BN, Azhar Yahya (PAS) dan dua calon bebas, P. Prabakaran and V.M. Panjamothy.
Tian Chua menang kerusi itu pada 2008 dan mempertahankannya pada 2013, mengalahkan Lau dengan 13,284 undi.
SPR bagaimanapun menyekat beliau daripada bertanding pada PRU14 atas alasan dijatuhkan hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac lalu kerana mencederakan seorang anggota polis.
Peguam beliau semalam memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mencabar keputusan SPR itu. Kes berkenaan akan didengar pada Khamis.
Tian Chua dalam pada itu yakin mahkamah akan membuat keputusan yang memihak padanya dan melayakkan beliau bertanding.
“Mahkamah tidak patut menghalang saya daripada bertanding. Sekiranya ia berbuat begitu, ia menafikan hak 70,000 pengundi di sini,” katanya.
Tian Chua turut menyeru pengundi di Batu berjanji dengannya untuk tidak mengundi BN, sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak padanya.
“Kalau tiada calon yang mahu menyertai PKR, saya serahkan kepada pengundi di Batu untuk membuat keputusan,” tambahnya. – 1 Mei, 2018.
Komen