Pengundi patut halau ‘gergasi’ Kit Siang, kata calon BN


The Malaysian Insight

MENGGELARKAN dirinya “kacang kecil”, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Iskandar Puteri Jason Teoh menyeru pengundi di kawasan itu untuk menghalau “gergasi” Lim Kit Siang kerana gagal berkhidmat untuk mereka.

Jason berkata, tempoh lima tahun veteran DAP itu mewakili penduduk Iskandar Puteri selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu membuktikan tiada sebarang jasa yang boleh dibanggakan untuk Kit Siang.

“Kita berlawan dengan ‘giant’, saya hanya individu kecil, kekuatan saya adalah anda semua, tanpa sokongan anda semua saya tidak mampu sampai ke sini.

“Macam mana pun kita nak merampas maruah balik, saya sangat yakin saya tidak berseorangan,” katanya di atas pentas bergerak yang diubah suai daripada lori lima tan di hadapan 600 pengundi di Iskandar Puteri malam tadi.

Kit Siang menewaskan menteri besar Johor ketika itu, Abdul Ghani Othman di kerusi Iskandar Puteri yang dikenali sebagai Gelang Patah pada PRU13.

Dalam kempen ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Selesa Jaya malam tadi, Jason menggunakan sentimen dirinya sebagai anak tempatan menentang Kit Siang yang menurutnya adalah calon “touch and go”.

“Kali ini BN mempamerkan tiga calon unik di Iskandar Puteri, tiga calon semua anak tempatan dan pertama kali jadi calon daripada lain-lain kaum dan pemimpin parti masing masing. Jadi ada satu slogan. Tiga calon, tiga bangsa, tiga budaya, satu jiwa, satu hasrat, satu Malaysia.

“Kita ada dua pasukan, anak jati iaitu saya, (calon DUN Skudai) S Kanan, dan calon (DUN Kota Iskandar), Mohammad Khairi A Malik dan pasukan ‘touch and go’ yang bermakna mereka tidak akan bersama kamu sama ada menang atau tidak,” kata Jason.

Sehubungan itu katanya, pengundi di Parlimen Iskandar Puteri tidak mempunyai pilihan selain memilih BN mewakili mereka di kerusi tersebut.

“Kita tidak ada pilihan, biar berseorangan atau NGO. Kaum India atau Melayu jangan salah faham. Ahli Parlimen ini (Kit Siang) tidak pernah buat sesuatu untuk komuniti Cina. 

“NGO yang jemput dia untuk hadir pun dia tak hadir, apa juga masalah sekolah jenis kebangsaan Cina dia tidak hiraukan, tidak pernah sekali pun sejak lima tahun (jadi ahli Parlimen),” katanya.

Tegasnya lagi, pilihan raya kali ini adalah satu perjuangan maruah buat pengundi Iskandar Puteri bukan sekadar sebuah pertandingan. – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen