CALON Melayu semua pihak bertanding, terutama sekali di kerusi marginal bekerja keras untuk meraih undi pengundi Cina pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), malah turut memuat naik catatan media sosial dalam Bahasa Mandarin.
Penyandang kerusi Parlimen Titiwangsa daripada Barisan Nasional (BN), Johari Abdul Ghani misalnya memiliki akaun Facebook khas untuk pengundi Cina walaupun ia hanya membentuk 17.3% daripada keseluruhan daftar pemilih di kawasan itu menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya.
Johari yang juga menteri kewangan kedua tidak mahu terlepas pandang mana-mana kumpulanpun dalam mempertahankan kerusi Titiwangsa yang dimenanginya daripada PAS dengan hanya beza undi 866.
Akaun Facebook Cina miliknya kini mempunyai 1,800 pengikut, seringkali dikemas kini dengan aktiviti kempennya. Ia turut menyertakan manifesto pilihan raya BN dan program kempen calon.
Ditulis dengan bahasa Malaysia dan Mandarin, Johari digambarkan sebagai ahli Parlimen yang mendengar masalah rakyat dan mengutamakan pembangunan. Pengundi Melayu membentuk 70.49% daripada daftar pemilih manakala pengundi India 9.42%.
Pada PRU14, Johari akan mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan Rina Mohd Harun (Pakatan Harapan) dan Mohammad Noor Mohammad (PAS).
Selain Johari, calon Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN Paloh, Johor, Sheikh Omar Ali juga menggunakan Bahasa Mandarin di media sosialnya untuk mendekati pengundi. Pengundi Cina nampaknya tertarik dengan pendekatan itu kerana akaun Facebooknya mempunyai sejumlah 13,000 pengikut.
Pasukan kempen Sheikh Omar dilaporkan mempunyai penulis Cina yang membantunya menterjemahkan mesejnya ke dalam Bahasa Mandarin. Calon berusia 33 tahun yang merupakan bekas aktivis pelajar itu juga kerap memuat naik gambarnya dengan pengundi Cina.
Pada PRU13, Paloh adalah kawasan luar bandar majoriti Cina sebanyak 44%, Melayu (37%) dan India (17%).
Tetapi, komposisi kaum berubah selepas persempadanan semula SPR. Dengan lebih 2,000 pengundi ditambah ke dalam kawasan itu, Paloh kini mempunyai 46% pengundi Melayu.
Kerana itu, DAP memutuskan untuk meletakkan calon Melayu di kerusi itu.
Sheikh Omar berdepan Teoh Yap Kun (MCA) dan Shamugam Munisamy (Bebas). Teoh mengalahkan calon DAP pada 2013 untuk menang di Paloh dengan beza undi hanya 103. – 1 Mei, 2018.
Komen