Peluang terbaik dan terakhir kalahkan BN, Kit Siang tak henti bekerja


The Malaysian Insight

BEREHATLAH. Biarlah orang muda pula yang buat kerja.

Ungkapan itu mungkin ada benarnya untuk kebanyakan ahli politik veteran tetapi tidak terpakai untuk pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang. Pemimpin berusia 77 tahun itu yang bertanding pada dalam pilihan raya umum buat kali ke-12 dan jadualnya padat sekali.

Beliau merasakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah peluang terbaik untuk pembangkang menjatuhkan Barisan Nasional (BN). Beliau sedar yang peluang ini mungkin adalah yang terakhir untuknya.

Jadi, masa tidur boleh ditangguhkan buat sementara waktu.

Sabtu lepas selepas mendaftar sebagai calon, pada jam 8.30 malam, Lim berada di atas pentas di Ayer Hitam, Johor memberi ceramah menyokong calon partinya, Liew Chin Tong. Liew bertanding menentang orang nombor dua MCA, Dr Wee Ka Siong.

Selepas ceramah di Ayer Hitam, Lim pergi ke Skudai pula, jaraknya hampir 80km untuk dua ceramah lagi sebelum menamatkan aktiviti malamnya.

Pada pagi Ahad, beliau bangun awal- segar dan bertenaga. Lim yang baru sahaja menjalani pembedahan kecil untuk penyakit kansernya Disember lalu memulakan harinya seawal jam 7.45 pagi dengan acara bertemu rakyat di Johor Jaya dan Simpang Renggam.

Pada tengahari, Lim berada di tempat asalnya, Batu Pahat untuk berjumpa lebih ramai pengundi sebelum pergi ke Kluang untuk sesi minum kopi dengan rakyat.

Malam hari yang sama, sekitar jam 8, beliau kembali ke pentas di Paloh memberi ceramah menyokong calon pembangkang Sheikh Omar Ali yang menentang Teoh Yap Kun (MCA) sebelum menamatkan hujung minggu yang sibuk dengan ceramah di Labis pula.

Sejak penamaan calon pada Sabtu, Lim sudah memberikan lima ceramah di Johor. Pada pagi Isnin, Lim pergi ke Jementah, Segamat untuk menyokong Tan Chen Choon yang mempertahankan kerusi itu menentang Chiam Yok Meng (MCA) dan Khairil Fauzi Ahmad Kamil (PAS).

Selepas itu, ahli Parlimen selama 10 penggal itu dijadualkan bercakap di dua lagi majlis di Negeri Sembilan (Rasah Jaya dan Nilai) sebelum bergerak ke Pahang (Raub dan Bentong) pada Selasa.

Menurut kakitangannya, Lim akan bergerak ke Pulau Pinang pada Rabu untuk berkempen. Pada Jumaat, beliau dijadualkan terbang ke Sabah dan Sarawak pula.

Ditanya mengenai kesihatannya, kakitangan itu mengatakan Lim bertegas mahukan jadual penuh kempen selagi mana badannya dapat bertahan.

“Kami memastikan dia berehat secukupnya antara majlis. Tetapi dia bertegas mahu pergi ke semua tempat selagi boleh,” kata kakitangan ibu pejabat DAP itu.

Lim berkata ini adalah peluang terbaik dan terakhir untuk menghentikan pemerintahan 61 tahun BN di Malaysia.

“Jika kita terlepas peluang ini, mungkin tidak akan ada lagi peluang lain,” katanya yang pertama kali menang di Bandar Melaka pada 1969.

Dalam kerjaya politiknya hampir lima dekad, Lim bertanding di 11 kerus Parlimen dan hanya kalah sekali (di Bukit Bendera pada 1999). Bekas wartawan itu pernah bertanding kerusi negeri sebanyak lapan kali dan menang empat kali- Kubu di Melaka (1974-1982), Kg Kolam dan Padang Kota di Pulau Pinang (1986-1995). – 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen