ADA isu lain yang lebih mendesak di Selangor, termasuk soal kebajikan kaum India di negeri itu, berbanding soal insiden kepala lembu hampir sedekad lalu yang hendak dikaitkan dengan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Shah Alam, kata Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Zainal.
Katanya, gambar insiden pijak kepala lembu yang disebarkan di media sosial bertujuan memburukkan calon BN itu sekarang sebagai “tidak relevan”.
“Yang mana lebih penting, lebih besar? Isu itu (kepala lembu) ataupun (kerajaan Selangor) tak tunaikan janji kepada masyarakat India?
“Itu yang lebih penting sekarang ini. Dia nak tutup kegagalan dia beri servis kepada masyarakat India tapi tutup dengan isu-isu tak relevan lagi pada masa sekarang,” katanya ketika dihubungi Malaysia Decides.
Menurutnya, kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menabur pelbagai janji kepada kaum India seperti kemudahan perumahan dan naik taraf kehidupan mereka.
Namun katanya, apabila ia gagal dilaksanakan, PH cuba meraih simpati pengundi kaum India dengan mewujudkan kebencian terhadap BN.
Azhari didenda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana terlibat dalam perhimpunan haram itu bersama 11 yang lain. Dua daripada mereka juga dituduh menghasut dan didenda RM3,000, dengan seorangnya daripadanya turut dihukum penjara seminggu.
Gambar yang tular di media sosial itu merupakan insiden sekumpulan individu yang memijak kepala lembu dalam perhimpunan haram di hadapan bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira 10 tahun lalu.
Ia tular beberapa hari selepas penamaan calon untuk pilihan raya umum 14, yang dikatakan calon BN Shah Alam Azhari Shaari terlibat dalam insiden tersebut.
“Saya rasa perkara tu tak perlu timbul dan kenapa perlu nak dibangkitkan sekarang? Jadi isu ini adalah satu cara pakatan untuk meraih pengundi khusunya meraih simpati untuk menidakkan calon BN khususnya untuk menarik pengundi India di Parlimen Shah Alam.
“Jadi saya rasa kalau nak tengokkan kepada apa yang dilakukan itu, tak wujud sebab benda itu dah lepas dan kita dah kalah pun pada pilihan raya yang lepas dan kita terima hakikatnya,” katanya.
Khalid Samad yang menang kerusi Parlimen Shah Alam atas tiket PAS pada pilihan raya umum yang lalu akan mempertahankan kerusi itu sebagai calon PH. Shah Alam mempunyai 13% pengundi kaum India daripada 107,316 pengundi pada PRU14 ini. – 1 Mei, 2018.
Komen