Persatuan hotel Sabah bimbang cukai pelancongan, diminta senyap dahulu


Jason Santos

Sabah mengutip RM7.5 bilion tahun lalu hasil daripada industri pelancongan.– Gambar EPA, 9 Jun, 2017.

KUMPULAN persatuan hotel di Sabah diberitahu supaya tidak menyuarakan kebimbangan mereka mengenai cukai pelancongan sehingga mereka bertemu dengan kementerian pelancongan, budaya dan alam sekitar pada 13 Jun nanti.

The Malaysian Insight diberitahu yang sesi penjelasan itu akan dipengerusikan Setiausaha Tetap Datu Rusmaidi Sulai yang akan menghimpunkan pengendali tempat penginapan yang bimbang dengan cukai baru itu dan akan diadakan di pejabat kementerian.

Presiden Persatuan Hotel Sabah Christopher Chan menjelaskan yang mesyuarat itu tidak dianjurkan kementerian kebudayaan dan pelancongan pusat (Motac) dan juga memberitahu supaya semua pengendali hotel tidak membuat sebarang spekulasi mengenai cukai itu.

“Kami diberitahu supaya tidak bercakap apa-apa, sehinggalah selepas mesyuarat itu,” kata Chan.

Persatuan Hotel Malaysia Cawangan Sabah, Persatuan Hotel Bajet, Sabah Backpaker Operator Association dan Persatuan Pelancongan Sabah juga nampaknya berdiam diri dan menasihati ahli mereka supaya tidak mengeluarkan kenyataan mengenai cukai pelancongan itu.

Semalam, Nazri Aziz menteri bertanggungjawab dalam pelancongan peringkat pusat berkata yang cukai itu akan dilaksanakan pada 1 Julai berbanding laporan sebelum ini pada 1 Ogos dan walaupun usul cukai pelancongan itu masih belum digazetkan.

Naib Presiden Matta KL Tan menyifatkan tarikh itu terlalu awal dan tergesa-gesa.

“Haih…21 hari untuk wujudkan sistem hotel dan menasihati pelancong,” katanya. 

Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah Masidi Manjun pula sedang bersiap sedia menunggu keputusan kabinet negeri tentang cukai baru itu.

Katanya kerajaan akan menjelaskan pendiriannya selepas memeriksa kertas kabinet yang sedang disediakan kementeriannya.

Malam semalam, Masidi memberitahu yang kajian itu akan dibentangkan kepada kabinet negeri ketika mesyuarat kabinet mereka setiap Rabu dua minggu sekali.

Katanya lagi lebih banyak maklumat diperlukan mengenai mekanisme cukai dan kesannya ke atas industri pelancongan di Sabah.

“Pertama sekali kita perlu menentukan sama ada kita ada pilihan (tidak mengenakan) cukai pelancongan…sama ada Rabu minggu depan atau minggu satu lagi (untuk kami membuat keputusan},” jelasnya.

“Tidak adil untuk saya buat kenyataan sekarang tanpa jelaskan kepada kabinet terlebih dahulu.”

Menurutnya, Sabah perlu lebih jelas dalam banyak perkara misalnya pengagihan hasil cukai, sambil menambah yang dia masih optimis yang hasil dialog dengan kerajaan pusat dalam pelaksanaan cukai itu akan memihak kepada negeri.

Pada 9 September 2016, Sabah menolak cadangan Motac untuk memperkenalkan levi hospital selepas Masidi mengatakan yang sebarang bentuk levi baru akan menjejaskan industri pelancongan Sabah yang sedang berkembang.

Kini, katanya, ketegasan Motac untuk memperkenalkan cukai baru “bukan lagi isu peribadi”.

Sabah mengutip RM7.5 bilion melalui industri pelancongan tahun lepas. – 9 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen