HANYA 100 orang hadir ke Ceramah Mega anjuran PAS di Segamat malam ini.
Di sebuah padang di kawasan subbandar Kg Abdullah, tujuh calon daripada Segamat, Labis dan Pagoh diperkenalkan kepada hadirin yang terdiri daripada ahli PAS.
Pengarah Ilham Center Hisomuddin Bakar berkata kehadiran yang tidak memberangsangkan itu menunjukkan parti itu semakin hilang sokongan pengundi.
“Apabila PAS memutuskan untuk meninggalkan pembangkang arus perdana mereka dilihat bergelut untuk meningkatkan sokongan. Ini jelas berlaku di Johor kerana mereka hilang pemimpin utama mereka.”
Hisomuddin berkata PAS harus bersedia terhadap kemungkinan bakal kalah dan hilang deposit di Johor.
PAS akan bertanding di 20 kerusi Parlimen dan 41 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor. Bernama melaporkan yang PAS akan bertanding di 150 kerusi Parlimen dan 375 kerusi DUN.
Pada pilihan raya lepas, PAS hanya menang empat kerusi daripada 31 kerusi DUN yang ditandingi dan kalah di kesemua lapan kerusi DUN yang ditandingi. Adun Parit Yaani Aminolhuda Hasan keluar parti tersebut dan menyertai serpihannya Amanah.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Mazlan Ali berkata ia menunjukkan trend pengurangan sokongan terhadap PAS di barat dan utara negera.
“PAS sudah tidak ada sokongan daripada masyarakat awam. Sokongan ini telah beralih kepada Pakatan Harapan,” kata Mazlan.
Namun Pesuruhjaya PAS Labis Salleh Abdullah berkata keputusan PAS untuk bertanding pilihan raya secara berseorang adalah untuk membolehkan mereka bertanding sebanyak mana kerusi yang mereka mahu.
“Dengan bergerak secara berseorangan, kami boleh tanding berapa banyak kerusi yang kami mahu dalam pilihan raya,” kata Salleh.
Sentimen itu dipersetujui calon Pagoh Ahmad Nawfal Mahfodz yang menyifatkan ia sebagai pencapaian PAS untuk bertanding paling banyak kerusi berbanding parti lain.
Sebelum ceramah, kira-kira 50 orang mengadakan solat hajat bagi mendoakan kemenangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam kes saman terhadap Sarawak Report. Arahan itu dikeluarkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini.
Calon lain yang diperkenalkan adalah Nasharudin Awang (Tenang), Normala Sudirman, (Pemanis), Sarchu Sawal (Labis), Muhammad Nur Iqbal Abdul Razak (Bukit Kepong) and Captain (R) Najib Lee (Bukit Pasir) dan Khairul Faizi Ahmad Kamil (Segamat and Jementah).
Ceramah itu turut dihadiri pemimpin Parti Ikatan Bangsa Malaysia Mohd Badri Abd Rahman dan Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Hussain.
Abdullah berkata beliau merupakan penceramah ke-11 malam semalam dan ia sesuatu yang “bersejarah”
“Berucap di stadium ini hari ini saya rasa seperti kita telah menang,” katanya. – 30 April, 2018.
Komen