PAS penghalang kekalahan BN meskipun berlaku tsunami


The Malaysian Insight

MOHAMAD Romi Ilias mungkin adalah jawapan kepada mengapa Barisan Nasional (BN) sukar untuk ditewaskan meskipun kemarahan rakyat kian memuncak ekoran kenaikan harga barangan.

Bagi usahawan berusia 45 tahun itu, tidak ada parti alternatif lain selain PAS, yang disifatkannya sebagai satu-satunya parti yang berjuang berlandaskan prinsip Islam.

Pengundi seperti Romi adalah antara yang mewakili 13% daripada 4,720 individu yang ditemuramah pemikir Institut Darul Ehsan (IDE) dalam tinjauannya pada Mac di seluruh negara.

Pakatan Harapan pula, menurut hasil tinjauan itu, memperolehi 41% sokongan, sementara BN 42% sokongan.

Timbalan Pengerusi IDE Prof Dr Mohammad Redzuan Othman berkata jika sokongan PAS dan PH digabungkan, ia akan menarik sokongan sebanyak 54%, iaitu jumlah yang tinggi berbanding undi popular yang diperolehi gabungan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Justeru, sekalipun terdapat gelombang tsunami pada 9 Mei, kemenangan akan berpihak kepada BN kerana undi anti-BN terpecah dua antara PH dan PAS.

PAS menentang BN dan PH di 160 kerusi Parlimen dalam PRU14 akan datang.

Tinjauan lain seperti yang dijalankan Merdeka Center menunjukkan terdapat 7.9% peralihan undi kaum Melayu tetapi menegaskan yang ia tidak mencukupi untuk menewaskan BN kerana undi tersebut terpecah dua antara PH dan PAS.

“BN hanya boleh ditewaskan jika PH dapat mengurangkan jumlah sokongan kepada PAS dan membawa undi itu kepada mereka,” kata Redzuan.

Di tempat tertentu seperti di Selangor, situasi seumpama ini sudah terjadi. Tahap sokongan PAS di negeri itu menurun kepada 11% pada minggu lepas. Bulan lepas, sokongan terhadap PAS di Selangor berjumlah 13%, kata Redzuan, yang juga naib canselor Universiti Selangor.

Sokongan PAS terbahagi kepada tiga kategori - ahli seumuar hidup, penyokong yang bukan ahli dan mereka yang menyokong PAS kerana parti Islam itu satu-satunya parti pembangkang yang bertanding di sesuatu kawasan.

PAS dijangka hilang sokongan penyokong kategori kedua dan ketiga tetapi ahli yang aktif akan kekal setia kepada parti Islam itu, katanya.

Bagaimanapun, ahli PAS yang masih aktif dianggarkan hanya berjumlah 5% dan 8% daripada lebih 12 juta pengundi, tambah Redzuan. Kebanyakan daripada mereka tinggal di Kelantan dan Terengganu di mana jumlahnya lebih kurang sama banyak dengan parti lawan iaitu Umno.

“Masih terlalu awal. Sama ada BN boleh dikalahkan atau tidak bergantung kepada sama ada PH boleh menyakinkan penyokong PAS bahawa satu undi untuk PAS adalah satu undi untuk Umno.”– 1 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen