Ahli politik Sabah gesa elak sekolah, institusi pendidikan bincang isu Gaza


Ravin Palanisamy

Presiden Parti Anak Negeri Henrynus Amin (kanan) berkata KPM harus mengelakkan suasana tegang dalam kalangan pelajar dan guru yang mempunyai kepercayaan dan pemikiran berbeza mengenai isu Palestin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

SEKOLAH dan mana-mana institusi pendidikan tidak boleh terlibat dalam sebarang aktiviti termasuk usaha menggalakkan sokongan kepada Palestin dalam konflik yang sedang berlaku di Gaza, gesa Parti Kerjasama Anak Negeri.

Presidennya Henrynus Amin berkata langkah itu perlu supaya pembelajaran di dalam kelas tidak terganggu selain mengelakkan  suasana tegang dalam kalangan pelajar dan guru yang mempunyai kepercayaan dan pemikiran berbeza mengenai isu Palestin.

“Pihak sekolah harus fokus kepada penyediaan kurikulum pendidikan, bukan mencampuradukkan isu politik yang tidak relevan dengan kurikulum sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) bertarikh 21 Oktober lalu yang mengarahkan pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin di institusi pendidikan di bawah kementerian itu.

Kata Henrynus lagi, Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama di mana pelajar, guru dan ibu bapa mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai politik atau konflik antara Israel dan Palestin.

Tambahnya, sekolah harus menjadi persekitaran yang neutral dan inklusif bagi semua pelajar menimba ilmu dan memupuk nilai-nilai murni.

Menurut beliau ramai ibu bapa juga terganggu dengan rakaman video yang memaparkan pelajar sekolah memijak bendera negara asing berserta kutukan dan cacian.

“Wajarkah murid sekolah didedahkan dengan sentimen kebencian terhadap kaum dan agama lain?

“Saya mempersoalkan niat sebenar penjawat awam menggunakan sekolah dan pelajar untuk menyuarakan pandangan politik mereka terhadap isu politik antarabangsa,” katanya. – 26 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen