PENGUNDI yang ditemui Malaysia Decides di kawasan Parlimen Setiawangsa tidak banyak merungut mengenai masalah setempat di situ.
Sebaliknya, perkara yang lebih merunsingkan mereka adalah masalah nasional seperti harga barang kian meningkat.
Seorang pesara berusia 69 tahun, Abdul Wahab Aynun berkata, harga barangan akan terus meningkat kerana beliau yakin kerajaan akan menaikkan lagi kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika BN menang PRU14.
“Isu setempat mungkin (BN) boleh selesaikan kalau dia bawa. Tetapi BN akan nampak lemah kalau PKR bawa isu nasional sebab orang memang tertekan dengan isu nasional,” katanya kepada Malaysia Decides.
Seorang peniaga kedai runcit Zairul Ehsan pula berkata penduduk di kawasan tempat tinggalnya di Projek Perumahan Rakyat Sri Semarak turut berbelah bagi untuk menyokong BN kerana menanggung beban kenaikan harga barang.
“Di sini memang nampak ramai suka BN tapi bila berbual-bual di kedai kopi mereka banyak tak puas hati dengan harga barang naik,” kata pemuda berusia 34 tahun itu.
Seorang lagi pesara yang merupakan penduduk Bukit Setiawangsa berkata kos sara hidupnya meningkat tanpa sebab munasabah dan setentunya masalah itu akan mempengaruhi undinya.
“Tetapi dengan (peningkatan) kos sara hidup, (harga) rumah mampu milik yang mahal (dan) kecil, saya rasa Pakatan Harapan ada harapan untuk menang,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Anne.
Penganalisis politik dari Ilham Centre Hisomuddin Bakar turut mengakui bahawa majoriti kaum Melayu di Setiawangsa lebih memihak kepada Umno namun pada masa sama terkesan dengan isu nasional.
“Ia bukanlah satu kubu kuat bagi BN tetapi mereka sedang menghadapi hakisan dari PRU13. Jadi pada kali ini jika ada gelombang sedikit, kerusi berkenaan akan hilang daripada penguasaan BN.
Katanya isu kos sara hidup itu akan berjaya menarik undi kepada PH sekiranya disasarkan kepada golongan B40 yang memang terkesan dengan masalah tersebut.
Setiawangsa menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara bekas ahli Parlimen 2008 Zulhasnan Rafique, bekas Adun Seri Setia Nik Nazmi dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Ubaid Abd Akla. – 30 April, 2018.
Komen