Risalah burukkan Dr Mahathir beredar di Langkawi


The Malaysian Insight

RISALAH memburuk-burukkan Dr Mahathir Mohamad dalam bahasa Cina dikesan beredar di Langkawi.

Risalah empat halaman yang antara lain menggesa agar masyarakat Cina “membalas dendam” terhadap calon Bersatu itu dikesan beredar di Pasar Kuah pagi ini.

Sinar Harian melaporkan risalah tersebut diedarkan di kawasan perumahan masyarakat Cina dan di medan selera.

Tidak diketahui siapa yang menulis risalah tersebut.

Mesej risalah itu adalah seperti berikut: Dr Mahathir “anti-Cina” dan harus ditewaskan.

Ia menyenaraikan 33 perkara berkaitan kegagalan Dr Mahathir dalam menjaga kebajikan kaum itu semasa menjadi perdana menteri.

Risalah itu turut menyebut bahawa sekarang merupakan masa terbaik untuk kaum itu membalas dendam terhadap Dr Mahathir.

Risalah berkenaan memberi amaran bahawa Dr Mahathir akan kembali kepada Umno selepas Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.

“Kini beliau menggunakan DAP untuk (meneruskan) perjuangannya terhadap kaum Cina. Jika dia berjaya, dia akan menyertai Umno semula dengan kerusi parlimen yang dimenanginya.”

Risalah itu antara lain membangkitkan mengenai Operasi Lalang yang dijalankan ketika pentadbiran Dr Mahathir, yang menyaksikan penahanan aktivis pendidikan Cina di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA), namun sudah dimansuhkan pentadbiran Najib Razak.

Dr Mahathir dalam siri ceramahnya berkali-kali mengingatkan bahawa BN akan menggunakan taktik tipu dan kotor bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – April 30, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen