Sarawak boleh guna bahasa Inggeris dalam urusan rasmi, kata setiausaha kerajaan negeri  


PENJAWAT awam di Sarawak boleh menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi rasmi, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Abu Bakar Marzuki.

Beliau berkata peringatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya jabatan kerajaan tidak melayan sebarang surat yang ditulis dalam bahasa selain bahasa kebangsaan Bahasa Melayu tidak terpakai di negeri ini.

“Itu tidak terpakai di Sarawak,” katanya kepada Borneo Post.

Semalam Anwar mengingatkan semua jabatan kerajaan supaya tidak melayan sebarang surat yang tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan.

Anwar berkata beliau menyedari terdapat sikap yang dirasakan “terlajak” atau “terpesong” oleh beberapa pihak yang sering kali cuba meninggalkan asas Perlembagaan Persekutuan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan dalam bahasa kebangsaan.

“Jadi saya ingatkan hal ini, kalau dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk swasta, arahannya ialah siapa sahaja menulis dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan. 

“Pemerkasaan budaya, bahasa dan sastera itu sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa, jadi jangan kita cuba meremehkan,” katanya. 

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa bahasa Melayu atau Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.

Anwar berkata tindakan sedemikian tidak akan menjadikan Malaysia berfikiran sempit kerana kerajaan tidak menjejaskan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris.

“Ini tidak menjadikan kita sempit, kerana saya sering kali mengingatkan rakan-rakan bahawa saya tidak mungkin diminta mengajar di Georgetown University, Washington DC kalau tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Saya tidak remehkan (penguasaan bahasa Inggeris),” katanya. – 26 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen