AKTIVIS sosial Hishammudin Rais yang mempunyai watak “warna-warni” dalam hidupnya menjadi salah satu tarikan kepada ceramah Pakatan Harapan (PH) di seluruh negara.
Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada zaman pemerintahan Dr Mahathir Mohamad turut berceramah sebaris dengan bekas perdana menteri itu selain Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Dari utara sampai selatan, Hishamuddin akan memulakan ceramahnya dengan ungkapan “Pakatan Harapan sudah menang, kecuali ditipu”.
Hishamuddin yang juga merupakan seorang penulis berceramah di pentas PH mewakili Bersih 2.0 untuk menggalakkan orang ramai keluar mengundi.
“Ramai keluar, penipuan dapat dikalahkan. Juga menerangkan kepada bakal pengundi baru untuk semak nama.
“Paling penting beritahu orang ramai pada PRU13 PH menang dengan 52% undi popular,” katanya yang juga seorang pengarah filem.
Beliau berkata sudah banyak bukti penipuan dan sabotaj akan dilakukan pada PRU14.
“Waspada dengan sabotaj. Tayar pesawat Dr Mahathir, Naib Presiden PKR Chua Tian Chang tak dapat bertanding.
“Calon PH tak dapat bertanding kerana dikatakan muflis, dihalang isi borang semua tanda paling sahih PRU14 nanti PH akan menang kecuali ditipu dan disabotaj,” katanya.
Hishammudin berkata sepanjang kempen PRU14 beliau akan meneruskan ceramah di pentas PH di Terengganu, Pahang dan Melaka. – 30 April, 2018.
Komen