TENTERA Israel berkata pesawatnya menyerang Lubnan sebagai tindak balas terhadap pelancaran peluru berpandu darat ke udara sebelum ini.
“IDF Aerial Defence Array telah memintas peluru berpandu darat ke udara yang ditembakkan dari Lubnan ke arah UAV (drone) IDF,” kata Angkatan Pertahanan Israel dalam satu kenyataan.
“Sebagai tindak balas, pesawat IDF menyerang sumber pelancaran,” tambahnya.
Israel berbalas serangan dengan kumpulan Hizbullah dan sekutu Palestin di selatan Lubnan sejak permulaan perangnya dengan Hamas pada 7 Oktober.
Tentera rejim itu turut menyerang sasaran ketenteraan di Syria pada awal hari Rabu yang didakwa sebagai tindak balas terhadap apa yang dikatakannya pelancaran peluru berpandu ke arah Israel. Serangan itu membunuh lapan askar, menurut media kerajaan Syria.
Pemimpin dunia menyatakan kebimbangan serangan ini boleh menarik Israel ke dalam konflik yang lebih luas dengan negara lain di rantau ini, meningkatkan perangnya terhadap Hamas.
Israel telah mengebom Gaza sebagai membalas dendam terhadap serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu, kata pegawai, yang menyifatkan ia serangan terburuk dalam sejarah Israel.
Setakat ini, lebih 6,500 rakyat Palestin terbunuh, menurut pihak berkuasa kesihatan Hamas di Gaza, dan terdapat kebimbangan jumlah kematian akan terus meningkat jika Israel meneruskan pencerobohan darat yang dijangka secara meluas dalam usaha untuk memusnahkan Hamas dan menyelamatkan tebusan.
Hizbullah pada Rabu berkata pegawai kanan kumpulan Palestin Hamas dan Jihad Islam telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah mengenai mencapai “kemenangan sebenar” dalam perang mereka dengan Israel.
Kenyataan Hizbullah itu tidak menyatakan bila atau di mana Nasrallah bertemu dengan pemimpin nombor dua Hamas Saleh al-Aruri dan pemimpin Jihad Islam Ziad Nakhaleh selain mengatakan bahawa ia berada di lokasi yang tidak didedahkan di Lubnan. – AFP, 26 Oktober, 2023.
Komen