PADA usia 22 tahun, P. Prabakaran sudah mula mencetuskan kekecohan sebagai calon termuda bertanding untuk PRU14.
Tetapi tidak banyak yang diketahui tentang anak muda yang bertanding di Parlimen Batu sebagai calon bebas itu.
Walaupun banyak kali Malaysia Decides cuba menemuinya, Prabakaran hanya membalas pesanan Whatsapp dengan “saya akan hubungi awak semula”.
Pelajar undang-undang itu juga nampaknya tidak dikenali dalam kalangan penduduk di Batu, di mana beliau berharap untuk mewakili mereka di Parlimen nanti.
“Siapa dia?,” tanya P. Ganesh, 37, ketika ditunjukkan gambar Prabakaran.
“Saya tidak pernah nampak dia di sekitar Sentul.”
Ganesh dari Bandar Baru Sentul berkata sejak Tian Chua hilang kelayakan, beliau tidak tahu siapa akan diundinya pada PRU14 dan terkejut apabila diberitahu siapa sebenarnya Prabakaran.
“Dia muda lagi kan? Saya setuju golongan muda patut jadi ahli politik tetapi bertanding sebagai calon, bukankah agak keterlaluan,” katanya.
Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya pada 10 April, Batu mempunyai 76,328 pengundi di mana 42.52% Melayu, 38.28% Cina dan 17.46% Indian.
Di Pekan Batu, Mohd Zaidi Abu Bakar, 28, berkata beliau juga tidak kenal siapa Prabakaran tetapi ingin tahu apa yang boleh ditawarkannya kepada pengundi Batu.
“Kita perlukan calon baharu, bukan daripada PKR, PAS atau BN. Seseorang yang boleh bawa isu tempatan ke atas dan selesaikan.
“Saya tidak kenal siapa dia, tidak pernah dengar pun, tetapi biar saya lihat dulu sebelum buat keputusan hendak undi dia atau tidak,” katanya.
Pada PRU 2013, Tian Chua daripada PKR atau nama sebenarnya Chua Tian Chang menang kerusi Batu dengan undi 41,672. Namun, pada PRU kali ini, beliau hilang kelayakan kerana disabitkan bersalah di mahkamah dan dikenakan denda RM2,000 pada 2017.
Prabakaran berdepan dengan Dominic Lau Chai Hoe (BN), Azhar Yahya (PAS) dan seorang lagi calon bebas, V.M. Panjamothya. – 30 April, 2018.
Komen