Laluan sukar buat Wan Saiful di Pendang


The Malaysian Insight

PENDATANG baru dalam arena politik Wan Saiful Wan Jan berdepan laluan sukar untuk menyakinkan pengundi Pendang untuk memilih Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang ekoran pengaruh kuat Barisan Nasional dan PAS di kawasan luar bandar itu.

Pengundi Tanah Merah, sebuah bandar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tokai, memberitahu Malaysia Decides bahawa mereka ragu-ragu dengan kemampuan calon Bersatu itu untuk menang, kerana BN dan PAS mempunyai sokongan yang kuat di kawasan itu.

“Pendang sejak dulu lagi kawasan BN atau PAS. Kami tahu ahli Umno telah keluar dan menyertai Bersatu kerana kebanyakan mereka menyokong Dr Mahathir Mohamad dan ini mungkin akan menyebabkan kekalahan Othman Abdul.

“Tetapi ini juga kubu kuat PAS, lebih-lebih lagi di Tokai,” kata Azman, 46.

Ini dibuktikan dengan kehadiran begitu banyak bendera PAS dan BN berbanding PKR di sepanjang jalan menuju bandar itu. Umno dan PAS dikenali sebagai parti yang mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi semasa musim pilihan raya.

Pada 2013, PAS memenangi kerusi DUN Tokai dengan kelebihan 5,833 undi sementara BN mempertahankan DUN Sungai Tiang dengan majoriti 6,994 undi.

Penyandang kerusi Parlimen Pendang Othman Abdul menewaskan calon bekas pemimpin PAS Mohamad Sabu dengan kelebihan 2,638 undi.

Pada 1999, Othman tewas kepada bekas presiden PAS Fadzil Noor, dengan kelebihan 2,939 undi. Othman merampas semula kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil yang dibuat ekoran kematian Fadzil pada 2002.

“Saya rasa sukar untuk Wan Saiful menang. Tak ramai yang kenal beliau, mungkin dia lebih kerap datang ke masjid di kawasan ini, seperti Awang Hashim,” kata Moktar Ismail, 63, merujuk kepada calon PAS untuk kerusi Parlimen Pendang.

Penjual laksa Muhamad Hasnizan, 36, berkata Othman mempunyai sokongan kuat di kerusi Parlimen tersebut disebabkan penglibatannya dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Saya tidak pasti sama ada Wan Saiful ada cukup masa untuk memperkenalkan diri dia kepada pengundi Pendang; kerana calon seperti Othman dan Awang sememangnya dikenali di peringkat akar umbi sebelum pilihan raya lagi,” katanya.

Wan Saiful, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institute for Democracy and Economic Affairs, akan berdepan pencabar dari PAS Awang dan calon bebas Abdul Malik Abdul Manaf dalam pertandingan empat penjuru. – April 30, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen