TEMPOH 72 jam lepas menjadi detik perjalanan emosi yang sukar buat calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Dr S Streram, selepas beliau dihalang daripada memasuki pusat pencalonan pada Sabtu lepas, tindakan yang sekaligus menghancurkan impiannya untuk mencabar menteri besar sementara Negeri Sembilan Mohamad Hasan yang juga penyandang kerusi tersebut.
“Kami sungguh gembira dan tiba-tiba, kegembiraan itu direntap, semuanya musnah. Hancur lebur,” kata ahli anestesiologis berusia 62 tahun itu kepada Malaysia Decides.
“Saya rasa keseluruhan proses pencalonan itu telah disabotaj,” katanya.
Semasa membayar wang deposit calon pada Rabu, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memaklumkan mengenai keperluan untuk mendapatkan pas pilihan raya bagi memasuki pusat pencalonan, walaupun berkali-kali bertanyakan mengenai perkara itu seminggu sebelumnya, kata Dr Streram.
Pada Sabtu lepas, calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR Dr S. Streram bersama-sama pencadang dan penyokong beliau, dihalang daripada memasuki pusat pencalonan untuk menghantar borang ekoran tiada pas SPR.
Peguam beliau, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, memfailkan surat tuntutan, bagi menuntut SPR membetulkan perkara itu sebelum Rabu. Pihaknya akan mengambil tindakan menyaman jika SPR gagal berbuat demikian.
“Pas pilihan raya bukan keperluan mengikut undang-undang. Ia digunakan untuk memudahkan proses pencalonan. SPR tidak boleh beroperasi dengan prosedur robot dan mencabuli hak calon dan pengundi,” kata Haniff kepada pemberita di pejabatnya di Kota Damansara, Kuala Lumpur hari ini .
Dr Streram melakukan kerja di peringkat akar umbi sejak setahun lepas, menggunakan pengalamannya sebagai doktor dan bekerja di Pusat Perubatan Nilai sebagai modal untuk menewaskan lawannya.
“Saya telah menyentuh hati dan merawat ramai orang. Saya telah menyelamatkan banyak nyawa. Saya percaya yang saya mempunyai peluang cerah (untuk menang). 80% peluang saya menang. Rakyat kini benar-benar marah.
“Namun sekelip mata semua itu hilang. Apa lagi yang kami mampu buat? Polis tahan saya, pegang kepala dan tangan saya. Saya dilayan seperti penjahat dan penganas.”
Dr Streram berkata penyandang Parlimen Pandan Rafizi Ramli mencadangkan nama beliau sebagai calon kepada kepimpinan parti.
PKR membuat laporan pertama di balai polis Chembong pada hari sama. Laporan polis kedua yang lebih terperinci dibuat di balai polis Petaling Jaya semalam.
Kini, Dr Streram terpaksa melayan mesej kasar pengguna media sosial yang menyerang beliau kerana tidak mebawa pas tersebut dan memberikan kemenangan tanpa bertanding kepada BN di Rantau.
“Mereka tidak tahu kisah sebenar,” tegasnya. – 30 April, 2018.
Komen