Tuduhan kes wang haram untuk alih perhatian rakyat, kata Wan Saiful


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan mengenakan 18 pertuduhan kes pengubahan wang haram ke atasnya bagi menutup kegagalan menangani masalah rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 25 Oktober, 2023.

PEMIMPIN Bersatu Wan Saiful Wan Jan mendakwa kerajaan sengaja mengenakan 18 pertuduhan kes pengubahan wang haram ke atasnya bagi menutup kegagalan menangani masalah rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu berkata kerajaan terpaksa mengalih perhatian akibat kritikan yang dihadapi terutama dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

“Jika kerajaan tidak ubah perhatian maka tumpuan rakyat adalah pada kegagalan mereka.

“Jadi mereka terpaksa mencari isu-isu baharu boleh digunakan untuk mengalih perhatian rakyat daripada segala bentuk kegagalan mereka,” katanya di kepada pemberita.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM6 juta.

Beliau membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Husin.

Wan Saiful didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana yang lebih tinggi. – 25 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen