KE mana saja Saifuddin Abdullah pergi, lawannya Nasrudin Hassan Tantawi pasti akan ikut.
Mereka berlawan pada 2013 merebut kerusi Temerloh di mana Nasrudin daripada PAS menang dengan majoriti 1,070 undi.
Tetapi itu ketika Saifuddin orang Umno dan PAS menjadi antara parti komponen dalam pakatan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) yang kini sudah terkubur.
Pada PRU14, mereka akan berlawan lagi di kerusi Parlimen Indera Makhota, Pahang dengan kedudukan terbalik.
Saifuddin, bekas timbalan menteri dan antara suara sederhana dalam Umno, keluar parti itu dan menyertai PKR pada 2015 selepas tidak bersetuju dengan cara Putrajaya dan cara tuduhan rasuah membabitkan 1MDB dikendalikan.
Beliau kini ketua setiausaha Pakatan Harapan (PH).
Pada PRU13, Nasrudin mendapat bantuan parti dalam PR yang lain tetapi kali ini PAS tidak lagi mempunyai sokongan seperti itu, walaupun ia mengetuai gabungan kecil pembangkang dengan nama Gagasan Sejahtera.
Saifuddin yakin dengan sokongan PH, kali ini beliau akan dapat menewaskan Nasrudin.
“Kali ini lain. Selepas saya kalah pada 2013, ramai beritahu saya mereka tidak undi Barisan Nasional (BN) bukan sebab tidak suka saya tetapi kerana mereka tidak mahu Umno.
“Nasrudin bukan satu ancaman, dia hanya seorang calon. Rakyat mahukan perubahan. Rakyat di Pahang sedang mengambil langkah untuk mengundi Pakatan,” katanya yang juga bekas ketua gerakan kesederhanaan global.
Nasrudin setakat ini belum menjawab panggilan atau pesanan untuk mendapatkan komen.
Mereka tidak berdepan pertandingan satu lawan satu, dengan seorang lagi calon Umno, Dr Johan Mat Sah turut serta dalam merebut kerusi itu.
Anak tempatan Indera Mahkota yang juga seorang doktor itu berkata beliau optimis bahawa pengundi akan memilih calon tempatan berbanding orang luar, walaupun Nasrudin dan Saifuddin antara nama besar dalam parti mereka.
Kerusi Indera Makhota dimenangi oleh Fauzi Rahman daripada PKR pada 2013 dengan undi majoriti 7,523. Beliau kini bertanding di kerusi DUN di Pahang. – 30 April. 2018.
Komen