DR Mahathir Mohamad berkata terdapat cubaan untuk menghalang beliau ke Langkawi pada hari penamaan calon pada Sabtu lalu.
Calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) itu juga menafikan beliau ditawarkan sebuah pesawat alternatif apabila pesawat yang disewanya tidak boleh digunakan.
“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Vista Jet menafikan tuduhan saya bahawa berlaku sabotaj apabila pesawat saya yang akan terbang ke Langkawi ada masalah di roda hadapan,” kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan.
“Namun mereka mengakui terdapat beberapa kebocoran cecair di bahagian depan, iaitu roda bahagian depan tidak boleh mengawal pesawat.”
Hal itu kata beliau adalah serius, kerana pesawat itu boleh hilang kawalan semasa berlepas atau mendarat, sambil menambah juruterbang telah menasihatkan beliau supaya pesawat itu tidak digunakan.
Bekas perdana menteri itu menafikan CAAM menawarkan sebuah jet alternatif kepada beliau.
Dr Mahathir juga berkata beliau cuba meminjam pesawat dari tiga rakannya, tetapi gagal.
“Biasanya, mereka akan pinjamkan pesawat mereka. Tetapi kali ini, mereka menolak, dan salah seorang dari mereka berkata beliau ditekan supaya tidak meminjamkan pesawat kepada saya.”
Calon kerusi parlimen Langkawi itu menafikan khabar angin bahawa pesawat terbabit adalah jet peribadinya.
“Ini satu pembohongan. Saya tak ada RM2.6 bilion dalam akaun saya untuk beli pesawat jet peribadi atau kapal layar.”
Dr Mahathir berkata beliau bernasib baik kerana dapat meminjam pesawat yang disewa rakannya untuk terbang ke Langkawi.
Jelas beliau insiden jet itu merupakan satu cara bagi Barisan Nasional (BN) menghalang PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), selepas kejadian di parlimen Batu dan Rantau yang menyaksikan kelayakan bertanding calon PH dibatalkan.
Sepanjang pilihan raya yang pernah dilaluinya, Dr Mahathir berkata beliau tidak pernah menggunakan sebarang pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon.
“Tetapi amat jelas, ada percubaan yang sengaja diadakan untuk menghalang calon pembangkang dari dicalonkan, supaya menteri besar (sementara) Negeri Sembilan menang tanpa bertanding (di Rantau).”
Cubaan itu kata beliau, juga jelas dalam kes yang menimpa penyandang parlimen Batu, Tian Chua, apabila pencalonannya ditolak oleh pegawai pengurus pilihan raya.
Dr Mahathir, 93, berkata kerajaan BN menggunakan pelbagai muslihat untuk menghalang beliau daripada dicalonkan.
“Terutamanya saya, sebab saya jadi ketua pembangkang, dan kalau saya tak dicalonkan sebagai calon, ia akan beri impak negatif kepada PH.
“Jadi, saya pertahankan kepercayaan saya yang pesawat itu sengaja dirosakkan, untuk halang saya ke Langkawi.” – 30 April, 2018.
Komen