Pendakwaan minta tempoh bantah permohonan Muhyiddin dapatkan semula pasport


Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ingin mahkamah memulangkan pasportnya secara kekal untuk membawa keluarga bercuti di London dan menjalani rawatan perubatan di Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2023.

PIHAK pendakwaan akan membantah permohonan Muhyiddin Yassin bagi mendapatkan pelepasan kekal pasportnya, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diberitahu pagi ini.

Timbalan pendakwa raya Nor Asma Ahmad memberitahu mahkamah mereka memerlukan lebih masa untuk menjawab permohonan Muhyiddin.

“Notis permohonan disampaikan kepada kami pada 17 Oktober. Kami akan membantah permohonan ini. Kami memohon dua minggu (untuk memfailkan afidavit pendakwaan sebagai jawapan),” kata Nor Asma kepada hakim perbicaraan Azura Alwi.

Hakim kemudiannya menetapkan 23 November sebagai tarikh baharu.

Pasport pengerusi Perikatan Nasional itu diserahkan kepada mahkamah jenayah sebagai sebahagian daripada ikat jamin RM2 juta dalam kes pengubahan wang haramnya yang sedang berjalan.

Azura memberitahu pihak pendakwaan agar memfailkan afidavitnya sebelum atau pada 8 November, dengan sebarang jawapan oleh pasukan peguam Muhyiddin sebelum atau pada 17 November.

Bekas perdana menteri itu memohon pemulangan pasportnya secara kekal tanpa syarat supaya beliau boleh membawa keluarganya bercuti di London pada akhir tahun dan menjalani rawatan perubatan di Singapura.

Beliau berkata dalam afidavit sokongan yang lawatan akhir tahun ke London adalah sebahagian daripada tradisi keluarga dengan membawa keluarganya bercuti selama sebulan setiap tahun.

“Perjalanan ini penting kerana saya boleh meluangkan masa bersama keluarga kerana tahun ini amat menekan saya dan keluarga,” kata ahli Parlimen Pagoh itu dalam dokumen itu.

Muhyidin berkata beliau perlu menjalani pemeriksaan jantung melalui ujian tekanan di Hospital Mount Elizabeth di Singapura.

Katanya, beliau sebelum ini pernah menjalani rawatan di Mayo Clinic, Amerika Syarikat beberapa tahun lalu, di mana doktor memaklumkan kepadanya Hospital Mount Elizabeth mempunyai rawatan dan alat diagnostik yang sama.

Tambahnya lagi, nasihat peguamnya ialah wang jaminan RM2 juta diberikannya sebelum ini mencukupi untuk memastikan kehadirannya di mahkamah dan penyerahan pasport hanyalah jaminan tambahan. – 25 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen