Shahrir kata tsunami gagal, Melayu marah pada Pakatan


The Malaysian Insight

PENYANDANG kerusi Parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad berkata usaha Pakatan Harapan (PH) untuk mencetuskan gelombang “tsunami Melayu” dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menemui kegagalan.

Jelasnya, orang Melayu sebaliknya kini marah kepada gabungan parti pembangkang tersebut yang didakwanya menyerang institusi berkaitan orang Melayu seperti Felda, Lembaga Tabung Haji (LTH), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Alhamdulillah semua serangan itu gagal, semua dakwaan dapat dijawab dan dibuktikan tidak betul, contohnya dakwaan Felda bankrap, bila didakwa (Ketua Pembangkang) Dr Wan Azizah Wan Ismail kalah kes di mahkamah dan membayar denda kepada Felda,” katanya kepada Malaysia Decides.

Pengerusi Felda itu berkata, dakwaan yang dibangkitkan PH itu turut menyebabkan bakal haji terlepas giliran untuk menunaikan ibadah kerana terpedaya dengan hasutan tersebut.

“Bila dakwaan terhadap TH dibuat, ada (pendeposit) mahu kerjakan haji mengeluarkan simpanan dan hilang giliran untuk tunaikan haji,” kata Shahrir.

Serangan ke atas TH itu merujuk kepada dakwaan skandal pelaburan yang dibangkitkan penyandang kerusi Parlimen Pandan, Rafizi Ramli melalui pertubuhan bukan kerajaan Invoke.

Selain itu PH turut menggunakan pengaruh Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen di kawasan Melayu luar bandar termasuk rancangan Felda untuk menimbulkan gelombang penolakan ke atas BN.

Shahrir juga berkata beliau menjangka kempen agar pengundi Melayu menolak BN tersebut tidak akan meraih momentum kerana usaha peringkat awal juga didakwanya tidak berhasil.

“Itu peringkat pertama tsunami Melayu PH yang gagal, sepatutnya ikut perancangan mereka kemuncak tsunami itu dalam pilihan raya umum ini tapi tsunami seterusnya juga gagal,” katanya ketika ditemui Malaysia Decides selepas pertemuan bersama pemimpin komuniti Tionghua di Johor Bahru hari ini. – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen