Saya presiden MyPPP lagi, kata Kayveas


The Malaysian Insight

AHLI politik Barisan Nasional (BN) M. Kayveas hari ini menarik semula surat peletakan jawatannya, berkata “penyingkirannya” oleh MyPPP dilakukan tanpa proses sewajarnya.

Kayveas meletak jawatan sebagai presiden parti itu dan semua jawatan parti menerusi satu surat bertarikh 23 April tetapi Setiausaha Agung MyPPP K Mohan kemudian berkata parti sudah pun memecatnya.

Kayveas sebelum itu bertegas mengatakan beliau diberikan kerusi Parlimen Cameron Highlands untuk PRU14, dan tidak mematuhi kepimpinan BN.

“Kita perlu mengembalikan hormat dan kredibiliti. Parti perlu dibersihkan. Ia tidak boleh dibenarkan berbuat seperti dulu.

“Maka, saya tidak ada alternatif lain kecuali menarik balik niat asal saya secara baik untuk meletak jawatan yang ditolak oleh Majlis Tertinggi dan menyambung semula semua tugas saya,” katanya menerusi akaun Instagram dan Twitter hari ini.

Mohan sebelum itu berkata keputusan untuk memecat Kayveas dibuat oleh lembaga disiplin MyPPP pada 24 April.

Kayveas kini bertegas mengatakan beliau tidak boleh disingkirkan sebagai presiden tanpa kelulusan perhimpunan agung atau perhimpunan agung luar biasa.

MyPPP antara parti kecil komponen dalam BN dan diberikan satu saja kerusi untuk bertanding pada PRU14, iaitu di Segambut. – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen