BALU bekas menteri besar Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Mat, Tuan Sabariah Tuan Ishak akan berkempen untuk memenangkan calon PAS termasuk di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang ditandingi oleh anak lelaki sulungnya, Nik Mohamad Omar sebagai calon Pakatan Harapan (PH) mewakili Amanah.
Langkah Tuan Sabariah itu diumumkan oleh seorang lagi anak lelakinya, Nik Mohamad Abduh yang bertanding di kerusi Parlimen Bachok melalui satu kenyataan di akaun Facebook yang dikeluarkan sebagai sebuah kenyataan bagi pihak keluarga.
Nik Mohamad Abduh mendakwa, ibu mereka pada awalnya mahu berkempen hanya di Bachok kerana faktor kesihatan tetapi memutuskan sebaliknya selepas “ada sedikit gangguan daripada dalam keluarga kami terhadap PAS di DUN Chempaka”.
“Maka bonda memutuskan untuk turut bersama jentera muslimat PAS di sana (Chempaka),” tulisnya dalam kenyataan itu.
Nik Mohamad Abduh turut mendakwa ibu mereka “terluka” dengan tindakan abangnya bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan memohon maaf kepada jentera PAS di seluruh negara.
Beliau juga mengingatkan abangnya tentang mustahak mendapatkan restu ibu dalam hidup.
“Ibu adalah menara kehidupan. Jangan bicara pasal ayahanda jika bonda tiada di sisi. Siapa ayahanda tanpa seorang bonda yang paling memahami pahit getir kehidupan seorang suami bergelar pejuang. Siapa kita tanpa bonda? Sekadar air mani terbuang hina,” tulisnya.
Tuan Sabariah sebelum ini dilaporkan tidak memberi restu kepada anak lelaki sulungnya untuk bertanding sebagai calon Amanah demi mengelak perpecahan dalam keluarga besar Nik Abdul Aziz.
Sabtu lepas, Tuan Sabariah mengiringi Nik Mohamad Abduh bersama kira-kira 2,000 penyokong PAS semasa penamaan calon PRU14, yang dianggap oleh bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu sebagai “tanda restu dan isyarat yang sangat baik”.
Nik Mohamad Omar kemudian enggan mengulas soal restu ibunya sebaliknya ketika ditanya oleh wartawan adakah ibunya sudah memberi izin untuk beliau bertanding, beliau hanya menjawab: “Insya-Allah”.
Beliau juga menyifatkan penyertaannya dalam PRU14 ini tidak ubah seperti jemaah haji yang hendak ke Mekah tetapi menggunakan jalan pengangkutan yang berbeza.
Nik Mohamad Omar akan menentang penyandang Ahmad Fathan Mahmood dari PAS dan calon Barisan Nasional, Mohamad Fareez Noor Amran. Ahmad Fathan menang pilihan raya kecil DUN Chempaka yang diadakan selepas kematian Nik Abdul Aziz pada Februari 2015. – 30 April, 2018.
Komen