BIARPUN Tian Chua hilang kelayakan bertanding di parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14, namun calon Barisan Nasional (BN), Dr Dominic Lau tidak menganggap ia sesuatu yang harus dipandang ringan.
Menyedari seruan pengundi untuk “menghukum” BN pada 9 Mei ini, Naib Presiden Gerakan itu berkata beliau akan melakukan sehabis baik dan tidak akan memandang rendah terhadap lawannya dalam pertembungan empat penjuru di kerusi itu kelak.
“Saya tak tahu apa peluang saya, tetapi saya akan gunakan tempoh berkempen ini untuk memberitahu rakyat apa yang telah kita lakukan dalam tempoh lima tahun lepas.
“Biarlah pengundi yang tentukan kredibiliti calon,” kata Lau selepas tinjauan yang dilakukannya di Pasar Selayang hari ini.
Naib Presiden PKR Tian Chua yang juga ahli Parlimen Batu selama dua penggal hilang kelayakan bertanding pada Sabtu lalu disebabkan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap beliau.
Tian Chua hari ini memfailkan saman terhadap SUruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi untuk memohon deklarasi bahawa beliau layak bertanding.
Kerusi parlimen Batu yang dibentuk pada 1959 akan menyaksikan pertembungan antara Lau, Azhar Yahya dari PAS serta calon bebas P. Prabakaran dan V.M. Panjamothy.
Kata Lau, sekiranya dipilih, beliau mahu menjadikan Batu sebagai hab budaya dan pelancongan.
“Kita mahu jadikan Batu sebagai tempat pelancongan kerana ketika Thaipusam, kereta berhias lalu di sini. Banyak juga tokong Cina yang boleh kita promosikan kepada pelancong.
“Bagi orang Melayu pula, kita mahu promosikan kawasan di mana bazar-bazar Ramadhan diadakan.” – 30 April, 2018.
Komen