Kerja kuat untuk menang Kapar, kata Shahrizat


The Malaysian Insight

PELUANG cerah menanti Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi Parlimen Kapar dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.

Justeru, katanya adalah penting bagi jentera BN memastikan penyokong tegar BN tidak terpengaruh dengan drama yang dicetuskan pembangkang.

Semua pihak termasuk jentera parti katanya harus bersatu di tahap tertinggi dalam PRU kali ini.

“Perlu selalu mengawal pengundi putih…. Harus selalu ingat bahawa akan sentiasa ada serangan daripada pihak pembangkang. Segala drama dan komen fitnah yang datang dari pihak sebelah sana, jadi perlu jaga pengundi putih dan pengundi kelabu,” kata Shahrizat.

Istilah pengundi putih dan kelabu merujuk kepada sistem yang diguna pakai BN bagi mengenal pasti pengundi tegar (putih), pengundi atas pagar (kelabu) dan pengundi yang secara jelas tidak menyokong BN (hitam).

Shahrizat berkata demikian ketika berucap di hadapan jentera BN pada petang ini di Kampung Sungai Serdang dalam DUN Semanta. Calon BN Saroni Judi akan berdepan penyandang daripada PKR Dr Daroyah Alwi, dan calon Pas Hasrina Wan Hassan serta calon PSM N. Gandhi Rajan.

Dr. Daroyah memenangi kerusi tersebut pada PRU lepas selepas menewaskan calon BN MD Ghazali Md Amin dan calon bebas Thuraisingam Subbrayan dengan kelebihan 7,846 undi.

Awal hari ini, Sharizat berkata calon wanita BN membuktikan rekod yang baik dalam membantu rakyat.

Di Selangor sahaja, calon wanita BN bertanding lapan kerusi, yang mana satu daripadanya adalah kerusi Parlimen.

Pemimpin MIC Mohana Muniandy akan bertanding untuk kerusi Parlimen Kapar menentang calon Pas Dr Abdul Rani Osman (bekas pesuruhjaya Pas Selangor dan Adun Meru), calon PKR Abdullah Sani Abdul Hamid dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) S. Manikavasagam (penyandang).

Terdapat 124,000 pengundi berdaftar di Parlimen Kapar. – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen