PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata beliau tidak takut untuk tidak bersetuju dengan perdana menteri sementara Najib Razak, sedangkan calon Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 mungkin tidak berani buat sedemikian dengan ketua menteri Lim Guan Eng.
Pada sidang akhbar di ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini, Teng menggelar Zairil Khir Johari yang juga calon PH bagi DUN Tanjung Bungah sebagai “kesayangan” Lim.
Teng yang mengetuai BN dalam meningkatkan kewujudannya di negeri kawalan PH itu, turut bertanding melawan Zairil di Tanjung Bungah.
“Zairil orang kesayangan ketua menteri sementara. Beranikah dia untuk menyuarakan pandangan rakyat,” kata Teng.
“Dia tanya saya berani atau tidak menentang Najib. Saya bukan kesayangan Najib, dan jika ada isu berkenaan kebajikan rakyat, saya akan bangkitkan dengan beliau secara terbuka atau tertutup.”
Serangan Teng itu susulan insiden di satu forum semalam di mana sekumpulan penduduk di Miami Green Resort Condo di Batu Ferringhi membangkitkan bantahan terhadap projek kondominium berkepadatan tinggi di kawasan tanah tinggi di belakang kediaman mereka.
Penduduk bengang apabila Zairil cuba mempertahankan kerajaan negeri dan dasarnya.
Pengerusi Gerakan Pulau Pinang itu mendakwa BN sering memegang dasar terbuka dalam kalangan ahli partinya apabila membabitkan isu rakyat.
“BN tidak pernah menghukum mana-mana wakil rakyatnya apabila membangkitkan isu kerana kami mewakili rakyat ketika membawa sesuatu masalah,” kata Teng. – 30 April, 2018.
Komen