PENASIHAT parti Liberal Demokratik (LDP) Chong Kah Kiat mengingatkan masyarakat Cina di Sandakan supaya tidak mengundi pihak bekas presiden mereka VK Liew yang menyertai parti Warisan.
Chong menyifatkan Liew sebagai seorang yang tidak mengenang budi dan melampau kerana berkempen untuk “membuang Umno kembali ke Semenanjung Malaysia” walaupun pernah dilantik menyertai kabinet semasa bersama BN.
“Dulu kita sokong, ketua menteri baik dan sokong dengan sepenuh hati. Hari ini beliau (Liew) kata buang balik Umno ke Semenanjung. Inikah pemimpin yang kita mahu? Pemimpin tak kenang budi?” kata Chong dalam pertemuan bersama masyarakat Tionghua di Sandakan hari ini.
VK Liew merupakan bekas presiden LDP daripada 2006 hingga 2014 dan pernah menjadi ahli parlimen Sandakan dan timbalan menteri dalam negeri daripada 2008 hingga 2013 apabila tewas kepada calon DAP Stephen Wong.
Beliau dan kira-kira 200 ahli LDP di Sandakan mengumumkan menyertai parti Warisan bulan lalu.
Chong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ke-13 turut mengingatkan masyarakat Cina bahawa DAP tidak membawa kestabilan seperti yang dibawa BN selama ini.
“Saya sendiri rasa PRU14 ini adalah satu cabaran yang saya fikir kita semua khususnya kaum Tionghua di Sandakan tidak boleh ambil dengan ringan.
“Untuk mempastikan kali ini khusus saudara saudari kaum Tionghua kita harus fikir dengan baik-baik pada 9 Mei sama ada kita mahu bukan sahaja kestabilan kemajuan. Sama ada kita mahu harmoni kita di negeri Sabah diteruskan,” kata beliau.
LDP akan bertanding di empat kerusi negeri Sabah iaitu Banggi, Likas, Karamunting dan Merotai serta kerusi parlimen Sandakan. – 30 April, 2018.
Komen