PERDANA menteri sementara Najib Razak memberi amaran bahawa masyarakat Cina di Malaysia juga akan kerugian sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum kali ini.
Najib berkata demikian dengan membangkitkan rancangan PH untuk menilai semula projek berimpak tinggi melibatkan pelaburan China seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Katanya langkah tersebut akan menimbulkan kemarahan kerajaan China dan akan menjejaskan perdagangan dengan Malaysia.
“Jika anda keruhkan hubungan dengan kerajaan China, implikasinya amat serius. Jika China arahkan untuk tidak lagi beli kelapa sawit Malaysia, harganya akan jatuh. Pekerja dan pemilik ladang kelapa sawit akan merana,” kata beliau dalam satu perjumpaan bersama komuniti Tionghua di Sandakan hari ini.
Najib turut memberi amaran bahawa Sandakan tidak akan menjadi tumpuan pelancong sekiranya mereka menyokong PH.
“Jika China beri arahan pelancongnya tidak boleh ke Sabah, mungkin hotel ini akan bankrap. Kota Kinabalu akan ada masalah, Sandakan akan ada masalah,” katanya.
PH dalam manifestonya berkata akan mengkaji semula projek ECRL yang bernilai RM55 billion itu atas alasan menjual kedaulatan negara.
Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad dalam satu program di Putrajaya awal bulan ini turut menyatakan bahawa projek itu mungkin akan dibatalkan.
Mengulas rancangan itu, Najib menjelaskan bahawa sikap Dr Mahathir yang sering bergaduh dengan negara luar itu merugikan Malaysia.
“Dr Mahathir dulu bergaduh dengan Singapura. Bolehkah kita buat projek High Speed Rail jika kita bergaduh dengan Singapura?
“Politik saya ialah baik dengan semua pihak, dengan Amerika Syarikat, juga China agar semua pihak dapat manfaat,” kata beliau.
Dalam pertemuan dua jam itu, Najib ditemani Pengerusi BN Sabah, Musa Aman, Penasihat Parti Liberal Demokratik (LDP) Chong Kah Kiat dan presidennya Teo Chee Kang serta pemimpin Cina tempatan bersama kira-kira 200 masyarakat Cina di Sandakan yang kebanyakannya peniaga dan usahawan. – 30 April, 2018.
Komen