Tanggungjawab saya jaga keharmonian keluarga, kata Nik Omar


The Malaysian Insight

ANAK lelaki sulung kepada ulama PAS yang disegani, Nik Omar Nik Abdul Aziz berjanji untuk memastikan keluarganya tidak bermasalah dengan keputusannya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH).

“Hubungan keluarga kami tetap kita jaga. Saya ini anak lelaki sulung keluarga Tok Guru Nik Aziz. Menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan keharmonian sebelum saya membuat keputusan,” kata Nik Omar.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai respons keluarganya apabila beliau disahkan sebagai calon untuk bertanding di kerusi DUN Chempaka yang pernah diwakili Allahyarham bapanya itu. 

Isu berhubung penerimaan keluarganya itu menjadi perhatian memandangkan adik beliau, Nik Mohamad Abduh menjadi calon PAS di Parlimen Bachok dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Dalam PRU13, Nik Abduh menang di Parlimen Pasir Mas.

Penamaan Nik Omar turut menimbulkan kemarahan pemimpin PAS sehingga beliau dipecat sebagai ahli PAS dengan serta-merta dan beliau turut menjadi sasaran caci maki penyokong PAS.

Mengulas perkara itu, Nik Omar berkata, beliau menghormati pandangan mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan beliau.

“Saya hormat mana-mana pihak yang tidak setuju. Caci dan maki adalah lumrah dalam kehidupan.

“Cuma apa yang dibuat (caci maki) ini buat orang tak minat dengan Islam apabila Islam didakwa sebagai suka caci maki,” kata Nik Omar dalam wawancara selama 18 minit itu.

Dalam wawancara disiarkan secara langsung di Facebook itu, Nik Abduh turut menjelaskan beliau lambat memberikan pengesahan untuk menjadi calon PH kerana mempertimbangkan bebanan berat yang perlu dipikul sebagai anak kepada Nik Aziz. 

“Beliau (Nik Aziz) telah laksanakan tugas sebagai alim, mengajar orang ramai,  jumpa rakyat, mengajar Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam. Saya bimbang tidak terikut apa yang beliau buat. Sebab itu saya keberatan pada awalnya untuk terima sebagai calon,” katanya. – 30 April, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen