REKOD cemerlang Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerajui kerajaan dan mentadbir negeri menjadi antara faktor yang menarik minat Parti Sarawak Bersatu (PSB) bekerjasama pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Awang Tengah Ali Hasan.
Beliau berkata GPS menghargai sokongan PSB yang turut hadir memberi sokongan semasa hari penamaan calon PRK itu pada Sabtu lepas.
“Kita hargai sokongan mereka (PSB) yang hadir untuk beri sokongan kepada GPS. Sokongan ini adalah kerana kesedaran mereka (tentang apa yang telah dilaksanakan GPS),” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya GPS bagi PRK itu ketika ditemui pemberita di Kampung Warisan Jepak di Bintulu hari ini.
PRK Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.
Pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada 13 Julai lepas PSB yang memenangi tiga kerusi dalam Pilihan Raya Negeri pada 2021 mengumumkan sokongan mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg.
Dalam satu kenyataan Presiden PSB Wong Soon Koh berkata pilihan mereka untuk menyokong kepimpinan semasa Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara. – Bernama, 23 Oktober, 2023.
Komen